
SKIM beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) berkembang pesat di Malaysia.
Di bawah skim ini, apabila sesuatu produk atau perkhidmatan dibeli oleh pengguna, mereka boleh membuat pembayaran pendahuluan dan menjelaskan baki bayaran secara ansuran dalam tempoh tertentu, biasanya lebih tiga bulan serta tiada caj faedah.
Faedah BNPL adalah ia membolehkan pengguna menguruskan pembelian mereka dan mendapat manfaat daripada sifar kadar faedah.
Kebiasaannya, pengguna tidak memerlukan skor kredit yang baik untuk melayakkan mereka memasuki skim berkenaan dan peluangnya lebih tinggi berbanding membuat pinjaman kad kredit atau peribadi.
Pada masa ini, dianggarkan terdapat lapan pemain BNPL utama di negara ini.
Sebagai institusi bukan kewangan, ia tidak dikawal oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Justeru, tiada pengawasan terhadap aktiviti jual beli mereka serta tidak tertakluk kepada undang-undang yang boleh melindungi pengguna daripada amalan tidak adil, menipu atau penyalahgunaan.
Kelayakan asas untuk memasuki skim BNPL di Malaysia adalah mudah iaitu seseorang hanya perlu menjadi warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas, mempunyai kad debit, nombor telefon serta alamat e-mel.
Namun, menurut Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Dr Paul Selva Raj, meskipun tiada caj faedah dikenakan, namun terdapat caj lain seperti yuran pemprosesan dan pentadbiran.
"Penalti untuk pembayaran lewat boleh menjadi terlalu tinggi.
"Yuran pembayaran lewat mungkin berbeza berbanding kadar pembayaran bulanan tetap dan peratusan bayaran tertunggak.
"Kebimbangan terbesar skim BNPL ini adalah ia boleh mendorong para pengguna berhutang.
"Kajian menunjukkan 68 peratus rakyat negara ini percaya mereka tidak melakukan simpanan yang mencukupi.
"52 peratus berkata mereka menghadapi kesukaran untuk mengumpul dana kecemasan sebanyak RM1,000 dan 47 peratus mengaku mempunyai hutang berlebihan.
"Skim BNPL boleh memburukkan lagi keadaan itu," katanya.
Paul Selva Raj
Tambah Selva Raj, melalui ansuran yang lebih kecil, skim tersebut 'mencipta ilusi' bahawa produk atau perkhidmatan berkenaan lebih berpatutan dan menggalakkan pembelian apabila pengguna tidak mampu untuk membeli produk itu.
"Pembelian di hujung jari, mungkin mendorong seseorang melakukan pembelian tanpa mempertimbangkan dengan serius sama ada seseorang itu benar-benar mampu membeli produk atau perkhidmatan berkenaan.
"Ini boleh menyebabkan pengguna berbelanja melebihi kemampuan mereka dan mengumpul lebih banyak hutang.
"Risiko lain BNPL termasuklah segala hutang akan diserahkan kepada agensi kutipan hutang. Kita semua membaca banyak kisah seram tentang bagaimana agensi itu mengutip hutang.
"Risiko lain adalah jika anda tidak dapat membuat pembayaran, ia boleh menjejaskan skor kredit anda, sekali gus sukar untuk mendapatkan pinjaman pada masa depan untuk pembelian penting seperti rumah atau pendidikan untuk diri sendiri dan anak-anak anda," jelasnya.
Amalan pembelian barangan di hujung jari menyumbang kepada risiko pertimbangan yang tidak serius dalam membeli sesuatu produk.
Ujar Selva Raj, kesan skim BNPL terhadap kebajikan pengguna boleh dirujuk menerusi beberapa kes yang berlaku di negara lain.
"Malah, impak BNPL sangat berbahaya sehinggakan di hampir setiap negara, terdapat seruan supaya peraturan melindungi pengguna dilaksanakan.
"Isu ini sangat serius di peringkat global sehingga pergerakan pengguna antarabangsa yang mewakili pengguna di seluruh dunia, Consumers International, melancarkan kempen global bertemakan 'A Call for Effective Regulation of Buy Now Pay Later Products'.
"Beberapa kebimbangan Consumers International adalah industri ini tidak dikawal, tiada semakan sewajarnya sama ada pengguna mampu membayar produk atau perkhidmatan, bayaran lewat adalah terlalu tinggi dan BNPL membawa kepada penggunaan berlebihan yang menjejaskan kebajikan pengguna," katanya lagi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram