Bunuh budak lima tahun, dua beranak didakwa di Seremban


Khalid Redza (kiri) mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah yang dilakukan di sebuah rumah di Taman Nee Yan. — Sinar Harian

SUSULAN penemuan tengkorak dan cebisan tulang pada 7 April 2022, dua beranak didakwa atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Mahkamah Majistret di Seremban, Negeri Sembilan pada Rabu.

Tertuduh, Khalid Redza Shuib, 41, dan anak perempuannya yang berumur di bawah 18 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Salleh.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang juga tidak dibenarkan diikat jamin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama telah menyebabkan kematian Hanan Hasrul Izwan berusia lima tahun di sebuah rumah di Jalan Temiang, Taman Nee Yan di Seremban, Negeri Sembilan kira-kira pukul 7 malam pada 3 Mac 2022.

Dalam mahkamah berasingan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin, Khalid Redza turut didakwa membunuh seorang wanita, Meriamah Abdullah Basam, 29, di lokasi yang sama antara 15 hingga 17 Mac 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Khalid Redza mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed atas dua pertuduhan iaitu mencederakan seorang wanita dan melakukan pengabaian kepada kanak-kanak.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah kepada Siti Syarifah Aibiddin, 35, dengan cara menyimbah air panas sehingga kulit melecur mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan pengabaian ke atas seorang kanak-kanak bernama Sufiy Hasrul Izwan berusia 20 bulan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di lokasi sama antara 1 Disember 2020 hingga 23 Mac 2022.

Dalam pada itu, Khalid Redza yang merupakan seorang peniaga mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram