Padah kendali wayar hidup, lelaki maut terkena renjatan elektrik di Kampung Numbak


  • 112
  • Selasa, 12 Apr 2022

pasukan operasi membantu mengeluarkan mangsa selepas pihak SESB memutuskan bekalan elektrik. — The Star

SEORANG lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di pekarangan sebuah rumah di Kampung Numbak di Kota Kinabalu, Sabah pagi Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa yang berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.

"Sepasukan empat anggota dan pegawai bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bergegas ke lokasi kejadian selepas pusat operasi JBPM Sabah menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 7.03 pagi," katanya.

Pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) turut tiba di lokasi kejadian untuk memutuskan bekalan elektrik sebelum pasukan operasi membantu mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian.

Menurut kenyataan itu, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan pihak bomba kemudian melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan pada 9.02 pagi.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada mangsa terlibat kes kecurian elektrik atau sebaliknya.

Kampung Numbak merupakan sebuah penempatan yang majoritinya terdiri daripada rumah atas air dan terletak lebih 15 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu, Sabah. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram