Pemilihan PKR: Anwar pertahan jawatan Presiden


  • Politik
  • Isnin, 11 Apr 2022

Anwar akan mempertahankan jawatan Presiden PKR bagi penggal 2022/2025. — Bernama

AHLI Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertahankan jawatan Presiden PKR bagi penggal 2022/2025, demikian menurut kenyataan dari pejabat beliau pada Isnin.

Anwar telah mengemukakan permohonan untuk bertanding menerusi aplikasi ADIL pada 12.14 tengah hari, kata kenyataan itu.

Anwar, 75, memenangi jawatan Presiden PKR tanpa bertanding bagi penggal 2018/2021 pada November 2018.

Pemilihan PKR kali ini, buat pertama kalinya diadakan secara hibrid iaitu fizikal dan dalam talian melalui aplikasi ADIL yang diperkenalkan PKR pada 28 Februari lepas.

Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula pada 8 April dan berakhir Ahad melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara.

Pencalonan bagi jawatan enam pimpinan utama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) iaitu presiden, timbalan presiden dan empat naib presiden serta lima jawatan utama Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita, berlangsung pada Isnin

Proses pengundian bagi pemilih secara dalam talian ialah dari 18 hingga 20 Mei manakala secara fizikal pada 13 hingga 17 Mei. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram