TINDAKAN samseng seorang pemandu kereta Ford Ranger berwarna biru tular di media sosial Facebook kerana melakukan kesalahan lalu lintas termasuk memandu melawan arah dan memotong barisan di Jalan SS25/12 di Petaling Jaya, Selangor.
Lebih mengundang kemarahan orang ramai apabila pemandu berkenaan berlagak seperti anggota polis kerana dalam video tersebut menunjukkan individu tersebut membawa lampu strobe light ataupun lebih dikenali sebagai 'lampu polis'.
Rakaman pemandu Ford biru itu menggunakan lampu tersebut dan memotong barisan.
Pemandu itu difahamkan menggunakan lampu berkenaan untuk mengambil kesempatan dengan berlakon sebagai anggota penguatkuasa agar pengguna lain akan memberikan laluan kepadanya di atas jalan raya.
Ramai pengguna media sosial mengecam tindakannya kerana menyusahkan pengguna jalan raya lain dan rata-ratanya menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan pacuan empat roda itu.
Dalam pada itu, hasil semakan Majoriti, pemilik kenderaan Ford Ranger itu mempunyai rekod saman yang tertunggak dan mempunyai cukai jalan yang sudah luput.
Saman tersebut berlaku di Brickfields, Kuala Lumpur, manakala cukai jalan kenderaan berkenaan luput sejak April 2021.
Sehubungan dengan itu, pada Khamis media melaporkan bahawa pihak polis memgambil maklum terdapat beberapa video tular di media sosial mengenai penggunaan lampu berkenaan dan sedang mengambil tindakan sewajarnya kerana nombor pendaftaran kenderaan terlibat telah dikenal pasti.
Pemilik kenderaan persendirian yang menggunakan lampu strobe light boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram