Pelajar SPM antara kena cekup terlibat sindiket tipu jual lesen


  • 112
  • Isnin, 04 Apr 2022

ANTARA peralatan komputer yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Durian Tunggal, Melaka pada Sabtu. — The Star

SEORANG pelajar sekolah menengah yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini antara dua yang ditahan polis Sabtu lalu, selepas dipercayai terbabit sindiket penipuan menjual lesen memandu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asistan Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, pelajar lelaki berusia 17 tahun dan seorang lagi lelaki berusia 22 tahun itu ditahan pada kira-kira 10 malam dalam serbuan di sebuah rumah sekitar Durian Tunggal, Melaka.

Beliau berkata, pada 29 Mac lalu, mangsa berusia 40-an melayari satu iklan di Facebook yang menawarkan perkhidmatan membuat lesen memandu tanpa melalui proses Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Pengadu kemudian menghubungi nombor yang tertera melalui aplikasi WhatsApp dan dalam urusan tersebut, mangsa dijanjikan lesen memandu dengan bayaran RM490,” ujarnya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, setelah bayaran dibuat, suspek masih meminta bayaran tambahan dengan pelbagai alasan.

"Curiga dengan suspek, pengadu tampil membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” jelasnya yang memaklumkan sindiket tipu jual lesen memandu itu bergiat aktif sejak enam tahun lalu.

Mohd Mahidisham berkata, kedua-dua supek berkenaan ditahan reman selama tiga hari sehingga Selasa untuk siasatan lanjut.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan lesen memandu menerusi cara yang betul dan sah di sisi undang-undang.

Menurutnya lagi, orang ramai juga diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599, WhatsApp CID Infoline di talian 013-2111 222 dan semakmule.rmp.gov.my atau kunjungi mana-mana balai polis berdekatan jika mempunyai sebarang maklumat jenayah atau aktiviti yang mencurigakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram