Polis selamatkan dua wanita warga asing jadi hamba seks


  • 112
  • Ahad, 03 Apr 2022

DALAM serbuan itu, polis menahan dua lelaki berusia 29 dan 39 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga serta ejen.

POLIS berjaya menyelamatkan dua wanita warga asing selepas menyerbu sebuah hotel di Jalan Sultan Azlan Shah di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, mangsa yang berusia 27 dan 28 tahun itu diselamatkan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Menurutnya, dalam serbuan sama, polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 29 dan 39 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga serta ejen.

"Mangsa dipercayai telah dieksploitasi untuk memberikan perkhidmatan seks kepada pelanggan.

"Kedua-dua mangsa yang diselamatkan dan dua lelaki tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kedua-dua suspek direman enam hari untuk siasatan lanjut.

"Kes telah disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 kerana melakukan kesalahan pemerdagangan orang yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan boleh juga didenda.

"Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan ke atas orang dewasa atau kanak-kanak adalah satu kesalahan jenayah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram