ISU fasiliti di kawasan pengangkutan awam sering kali diutarakan di media sosial, namun seolah-olah pihak berwajib tidak mengambil langkah sewajarnya.
Kemudahan seperti eskalator dan lif amat penting bagi pengguna pengangkutan awam khususnya golongan warga emas atau Orang Kelainan Upaya (OKU).
Namun, penyelenggaraan yang tidak efisien semestinya akan menyukarkan para pengguna yang sering bergantung kepada kemudahan berkenaan.
Seorang pengguna Twitter, @anais2022 meluahkan kekesalannya kerana pihak Rapid KL tidak melakukan kerja-kerja menyelenggara eskalator dan lif yang sudah rosak di stesen LRT Ampang Park sejak empat bulan lalu.
"Bulan depan puasa, nak naik turun tangga hari-hari ke?
"Kemudahan pengangkutan awam padiaaa ini," kata menerusi satu ciapan di Twitter pada Khamis.
Susulan itu, pihak Rapid KL menerusi jawapan balas pada ciapan berkenaan, memaklumkan bahawa lif dan eskalator di stesen berkenaan akan dibaiki dengan segera agar dapat kembali beroperasi secepat mungkin.
Menjengah ruangan komen pada ciapan berkenaan, rata-rata warganet turut sependapat dengan @anais2022.
"Secepat mungkin celah mana, dah empat bulan. Padahal tak buat apa pun kan.
"Rosak eskalator saja pun, bukan tak ada orang yang reti (baiki). Sembang," kata pengguna Twitter, @naimllh_.
"Stesen LRT berpisah tiada dengan eskalator dan lif rosak. Tak ada SLA (Service Level Agreement) ke dengan vendor penyelenggaraan," ujar seorang lagi pengguna Twitter, @emran_harris. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram