SEORANG pengguna pengangkutan awam meluahkan kekesalannya apabila dia tidak dapat membeli tiket monorail di Stesen Hang Tuah pada hari Ahad lalu.
Pengguna tersebut yang hanya dikenali sebagai Sam Wong memuatnaik video luahan hatinya ke laman TikTok miliknya.
"Jadi kami kini berada di Stesen Hang Tuah. Kami ingin naik monorail untuk ke Pavilion di Bukit Bintang dan apabila tiba kami nampak ketiga-tiga mesin tiket tidak boleh digunakan, sedang diselenggara, jadi kami tak boleh beli token ke Bukit Bintang.
"Bila pergi ke kaunter, tak ada orang dekat kaunter dan mereka harap semua orang ada baki kad Touch & Go yang mencukupi untuk masuk ke stesen?
"Tuhan sahaja tahu dekat mana mesin tambah nilai (Touch & Go) paling hampir, tak ada mesin tambah nilai di sini, apa boleh kami buat? Pengangkutan awam seharusnya memudahkan orang ramai tapi langsung tak memudahkan dekat sini, sedang diselenggara, tidak ada sesiapa untuk bantu kami, " ujarnya dalam video yang berdurasi 1:23 saat itu.
Sementara itu Rapid KL dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa pintu masuk stesen Hang Tuah dari arah LaLaport Bukit Bintang City Centre (BBCC) di tingkat satu itu masih belum dibuka kepada orang ramai.
"Walaupun pejalan kaki dibenarkan masuk ke stesen melalui pintu tersebut, fasiliti seperti mesin tiket dan pintu masuk ke arah platform monorail masih sedang diuji dan belum beroperasi.
"Untuk pergi ke platform monorail, pengguna dinasihatkan untuk menggunakan pintu masuk LRT Ampang yang terletak di tingkat bawah.
"Papan tanda dan petugas serta polis bantuan akan diletakkan di tingkat satu untuk membantu pengguna," katanya menambah laluan BBCC akan mula beroperasi pada 28 Februari 2022.
Rapid KL turut memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pengguna terbabit serta memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi Wong sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram