YUSERI Yusoff, bapa bayi malang, Nour Rania Asyifaa Yuseri atau Baby Syifaa, menuntut keadilan untuk kes itu disiasat semula apabila tidak bersetuju dengan hasil siasatan kematian kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan itu.
Aktif menuntut keadilan di media sosial, Yuseri menggunakan tanda pagar #justice4babysyifa sebagai kempen umum agar kes anaknya itu disiasat semula.
Yuseri dalam beberapa hantaran di Instagram mengutarakan pandangannya terhadap kes berkenaan yang mana dia beranggapan anaknya itu meninggal dunia kerana 'dibunuh' dan bukan secara tidak sengaja seperti yang dilaporkan.
Pada 22 Februari 2022, Baby Syifaa dipercayai tersangkut pada kain buaian ketika sedang tidur di pusat jagaan dan disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan oleh pegawai perubatan pada pukul 4.30 petang, selepas pengasuh kanak-kanak itu membawanya ke klinik untuk rawatan.
Dalam hantaran pada Khamis, Yuseri berkongsi gambar kaki anaknya yang luka dan menyatakan bahawa dia sudah mendapatkan pandangan kedua berhubung kes anaknya daripada seorang individu dari Port Dickson, Negeri Sembilan.
" Aku mendengar pandangannya, Baby Syifaa dibunuh kemudian diletak dalam buai.
"Demo menggunakan patung bayi bersaiz Baby Syifaa menunjukkan kesan kecederaan hampir sama dan konsisten kesan yang pada jenazah Baby Syifaa.
"Bayi dalam keadaan meniarap, diletakkan wayar atau kabel di leher kemudian ditarik menyebabkan Baby Syifaa meronta-ronta sehingga terdapat kesan melecet dan satu jari kaki hampir tercabut kuku," dakwanya.
Pada hari yang sama, juga Yuseri turut berkongsi satu lagi hantaran dengan kapsyen yang menyatakan ramai rakannya yang merupakan anggota polis mengenai kesan jerutan pada leher Baby Syifaa bukan disebabkan kain buai.
"Ramai kawan aku anggota polis pun setuju kesan jerutan pada leher Baby Syifaa bukan disebabkan kain buai.
"Siasat semula, janganlah sampai masyarakat melihat low class punya penyiasatan polis di negara kita ini," ujarnya.
Mengambil perhatian atas tuntutan bapa Baby Syifaa, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kertas siasatan berhubung kes kematian kanak-kanak perempuan itu telah dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, tindakan bapa mangsa yang menularkan kes itu dalam media sosial tidak boleh dijadikan bukti forensik kerana perkara yang diperkatakan hanyalah anggapannya sahaja.
"Polis jalankan siasatan secara menyeluruh dengan bantuan forensik bukan sahaja secara individu. Harap keluarga bertenang dan jangan keluarkan kenyataan yang timbulkan salah faham orang ramai," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram