SEORANG peniaga yang sebelum ini menghadapi tuduhan membunuh kekasih ibunya dihukum penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada Jumaat selepas didapati bersalah menyebabkan kematian lelaki warga Pakistan itu.
Hakim, Datuk Abd Halim Aman menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Shah Izwan Mohamad Zaki, 27, selepas meminda pertuduhan membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat terhadap mangsa, Muhammad Kashid.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut di Penjara Kajang bermula dari tarikh tangkap, iaitu pada 28 Mac 2019.
Hakim Abd Halim dalam penghakiman ringkasnya berkata berdasarkan keterangan menunjukkan bahawa tiada perancangan awal di pihak tertuduh untuk melakukan pergaduhan, apatah lagi melakukan pembunuhan.
"Punca pergaduhan hingga membawa kepada kematian si mati bermula daripada bibit-bibit provokasi yang berjangkit sebelumnya. Peristiwa terjadi sebenarnya berpunca daripada perbuatan si mati sendiri yang tidak menghormati adat susila serta budaya ketimuran masyarakat di sini.
"Dengan tidak terbendung perasaan amarah disertai dengan apa yang dilihat di hadapan matanya, telah membawa kepada insiden kes ini. Tidak dinafikan, apa yang dialami oleh tertuduh di ketika dan di saat itu, pasti akan melakukan sesuatu, demi maruah diri serta keluarganya serta demi keselamatan adik-adiknya,” katanya.
Hakim Abd Halim berkata, berdasarkan kepada keterangan yang telah disampaikan, tidak wajar untuk mengatakan yang pembunuhan itu adalah sesuatu yang dirancang dan tindak tanduknya jelas menunjukkan tertuduh tidak mempunyai mens rea (niat) untuk membunuh si mati.
"Antaranya, tertuduh telah menghubungi pihak polis untuk memaklumkan kejadian tersebut, dia jugalah yang menunggu di bawah rumah ibunya menanti kehadiran pihak polis dan dia jugalah yang melambai-lambai memanggil polis semasa polis tiba,” katanya.
"Berpandukan kepada situasi tersebut, tindakan tertuduh ini adalah terjumlah kepada membunuh tanpa niat yang boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. Oleh itu berdasarkan keterangan, hanya kesalahan terhadap (membunuh tanpa niat) itu sahaja yang berjaya dibuktikan pihak pendakwaan terhadap tertuduh.
"Lantas pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dipinda dan diperturunkan kepada suatu pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 304(a) kanun sama,” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang lelaki warga Pakistan, Muhammad Kashid di rumahnya pada 28 Mac 2019 antara 4 pagi dan 5.15 pagi dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.
Seramai 20 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil sepanjang perbicaraan kes tersebut yang berlangsung pada 7 Disember 2020 hingga 15 Februari 2022.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datin Zuraini Abdul Razak manakala Peguam Shah Rizal Abdul Manan mewakili tertuduh. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram