POLIS meminta penunggang basikal yang dipukul menggunakan batang besi oleh seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat di Jalan Seri Manjung-Segari, Manjung, Perak seperti dalam video yang tular di media sosial baru-baru ini, tampil membuat laporan untuk tindakan lanjut.
Menurut Ketua Polis Daerah Manjung, Asistan Komisioner Nor Omar Sappi, pihaknya memperoleh perintah untuk siasat (OTI) daripada timbalan pendakwa raya pada Khamis bagi meneruskan siasatan, namun ia tidak dapat dilengkapkan berikutan mangsa dipercayai lelaki warga asing itu, tidak dapat dikenal pasti sehingga kini.
"Suspek mengaku (ketika soal siasat) namun mangsa tidak tampil, jadi bagaimana kami hendak tahu kecederaan dialami dan sebagainya.
"Siasatan mungkin akan tertangguh, jadi kami minta mangsa supaya tampil membuat laporan polis,” katanya.
Tambahnya, setakat ini polis menjalankan siasatan dengan memanggil suspek berusia 34 tahun itu, selain mengambil keterangan saksi kejadian termasuk rakannya yang merupakan pemilik kereta yang digunakan ketika kejadian.
Katanya, orang awam di tempat kejadian yang menyaksikan insiden itu, turut diminta memberi keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan termasuk bagi mengenal pasti identiti mangsa.
Pada Selasa lepas, polis merekodkan keterangan suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, Perak dan mendapati punca kejadian adalah salah faham antara kedua-duanya hingga suspek bertindak memukul mangsa kerana mendakwa mangsa telah memaki hamun serta mencabarnya.
Tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang lelaki menaiki kereta Proton Wira berwarna biru memberhentikan kenderaannya lalu memukul seorang lelaki yang sedang menunggang basikal di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya AEON Mall Seri Manjung, Perak. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram