Ahli politik, VIP antara sasaran sindiket penipuan aplikasi pemesejan


  • 112
  • Khamis, 24 Mac 2022

PENGGUNA dinasihatkan lebih berhati-hati menggunakan kedua-dua aplikasi berkenaan. — Gambar hiasan

AHLI politik, orang kenamaan dan pegawai tinggi kerajaan merupakan antara golongan menjadi sasaran sindiket penipuan yang menyamar sebagai individu tertentu di aplikasi Telegram serta WhatsApp.

Modus operandi penjenayah adalah meminta bantuan kewangan daripada rakan mangsa yang berada dalam aplikasi terbabit.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din, sebanyak 1,710 kes dilaporkan melibatkan kerugian bernilai RM11.47 juta antara 2020 dan Februari tahun ini.

"Sebanyak 823 kes dilaporkan pada 2020 dengan kerugian bernilai RM6.19 juta, diikuti 778 kes melibatkan kerugian RM4.8 juta pada tahun lalu.

"Bagi tahun ini, sebanyak 109 kes dilaporkan menyebabkan kerugian RM478,016," katanya.

Tambah beliau, kebanyakan mangsa menyedari aplikasi pemesejan mereka digodam apabila rakan-rakan mangsa memaklumkan mereka menerima mesej daripada mangsa untuk meminjam wang.

"Pengguna telefon pintar dinasihatkan lebih berhati-hati sekiranya menerima mesej daripada individu tidak dikenali meminta kata laluan untuk aplikasi pemesejan mereka.

"Kata laluan itu akan digunakan untuk menggodam akaun pemesejan mangsa.

"Mereka kemudiannya akan menyamar sebagai mangsa untuk memperdayakan rakan-rakan mangsa.

"Kami menasihatkan orang ramai untuk mengaktifkan pengesahan dua langkah bagi mengelalkan akaun pemesejan mereka daripada digodam," ujarnya lagi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram