Kerajaan diminta kecualikan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bagi usahawan mikro


  • Primer
  • Isnin, 21 Mac 2022

KEBANYAKAN pekerja usahawan mikro adalah dalam kalangan ahli keluarga.— Sinar Harian

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi memohon agar kerajaan mengecualikan usahawan mikro daripada penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 Mei 2022, memandangkan pendapatan tahunan golongan itu masih di bawah RM300,000.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, malah ramai lagi usahawan mikro yang belum stabil dari segi status kewangan mereka, ekoran operasi perniagaan yang baru kembali pulih dari kesan pandemik Covid-19 dan bencana banjir yang berlaku sebelum ini.

"Sebelum ini ramai yang terlibat dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan iaitu hampir 43,000 daripada mereka adalah usahawan mikro dan kira-kira 70 peratus daripada mereka juga terlibat dengan banjir.

"Mereka baru sahaja mahu bernafas dan kerajaan bantu beri RM3,000 kepada mereka (yang terlibat banjir) untuk pulihkan perniagaan, jadi kita mohon kerajaan dapat pertimbangkan perkara ini,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Usahawan Keluarga Malaysia kepada Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar (AIM) di Shah Alam Selangor pada Isnin.

Noh berkata, kebanyakan usahawan mikro adalah mereka yang berniaga secara kecil-kecilan dan pembantu mereka kebiasaannya adalah dalam kalangan ahli keluarga, jiran dan orang kampung.

"Mereka bayar sekadar mampu, jika mereka diwajibkan untuk bayar RM1,500 bagaimana mereka nak bayar, pendapatan mereka juga cukup-cukup makan sahaja," katanya.

Mengenai sumbangan bantuan pada Isnin, Noh berkata, 8,859 Sahabat AIM akan menerima geran khas berkenaan secara one-off sebanyak RM3,000 tiap seorang tanpa perlu membayar balik, dan sumbangan itu melibatkan peruntukan RM26.557 juta. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Noh Omar, usahawan mikro, AIM, gaji minimum