Lelaki OKU hilang selepas rumah terbakar di Jengka


  • 112
  • Ahad, 20 Mac 2022

KEBAKARAN melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan sembilan meter x 24 meter. — Sinar Harian

SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) hilang selepas rumah didiaminya di Felda Sungai Nerek, Jengka, Pahang musnah dalam kebakaran pada awal pagi Ahad.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa dipercayai telah keluar kerana tiada tanda-tanda lelaki itu terperangkap dalam rumah tersebut.

Menurutnya, usaha mengesan mangsa sedang dijalankan dengan bantuan pihak polis.

"Rumah berkenaan dihuni oleh dua mangsa. Seorang lagi lelaki dewasa yang menghuni rumah tersebut selamat apabila berjaya keluar menyelamatkan diri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada MERS 999 jam 3.05 pagi sebelum sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka telah diarahkan ke lokasi kejadian.

"Operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Maran dengan kekuatan logistik satu jentera pemadaman dan satu jentera EMRS.

"Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan sembilan meter x 24 meter dengan anggaran kemusnahan 95 peratus," katanya.

Beliau berkata, bomba membuat operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos salur bantu tangki pam jentera bomba dan bantuan air dari jentera C1-31 sehingga kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram