Budak 14 tahun direman bantu siasatan kebakaran madrasah di Marang


REMAJA lelaki ditahan reman bagi membantu siasatan kes kebakaran di asrama Madrasah dan Pondok Al-Huda. — Bernama

SEORANG remaja lelaki ditahan reman selama dua hari sehingga Rabu, bagi membantu siasatan kes kebakaran di asrama Madrasah dan Pondok Al-Huda, Kampung Lubuk Perah dekat Marang, petang Isnin.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda setelah mendapat permohonan daripada pihak polis untuk menjalankan siasatan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Remaja berusia 14 tahun itu kelihatan tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Marang, kira-kira 9 pagi diiringi anggota polis.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira 6 petang Isnin, pemilik madrasah berkenaan menyedari berlaku kebakaran di bilik kuliah dan mendapati tilam yang berada di dalam bilik tersebut telah terbakar.

Pemilik madrasah kemudian terus menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan dan tidak lama kemudian, kebakaran kedua dikesan di bilik asrama dan semasa bomba tiba, berlaku pula kebakaran ketiga di bilik tumpangan berhampiran surau madrasah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Md Hilman Abd Rashid dilaporkan berkata, pihaknya mengesyaki terdapat unsur jenayah dan menyerahkan kes itu kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Kebakaran pada tempat berbeza dengan pattern yang sama... bahan bukti kita dah ambil dan akan dibawa ke makmal untuk analisis,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram