KELUARGA Lau Sam, 84 yang hilang ketika mendaki di sebuah bukit dekat Puncak Jelapang di Ipoh, Perak menawarkan ganjaran RM10,000 bagi sesiapa yang menjumpai warga emas itu.
Anak kepada pendaki, Lau Kok Gian, 48, berkata, walaupun usaha dilakukan oleh pasukan mencari dan menyelamat, rakan dan pendaki lain, bapanya masih belum ditemui.
"Kami menawarkan ganjaran dan meminta bantuan orang ramai untuk mengesan bapa saya," katanya pada sidang media di tapak mencari dan menyelamat pada Sabtu.
Turut berada di lokasi ialah isteri mangsa, Chin Ah Yoong, 81.
Selain anggota polis dan bomba, operasi mencari dan menyelamat turut dianggotai oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam dan Pasukan Bantuan dan Penyelamat Khas Malaysia.
Kok Gian, seorang pramugari, berkata, mereka sekeluarga amat bimbang kerana bapanya telah hilang sejak lapan hari lalu.
"Ayah saya menjalani pemeriksaan kesihatan penuh dua hari sebelum kehilangannya dan doktor memberitahunya sihat tanpa sebarang penyakit. Dia tidak mempunyai sejarah demensia dan dia kerap mendaki sebanyak dua hingga tiga kali seminggu," tambahnya.
Kok Gian berkata, bapanya sihat sebelum mendaki, di mana Sam sempat makan tengah hari dan menonton televisyen sebelum meninggalkan rumah mereka di Kampung Tawas pada pukul 3 petang.
Mereka yang mempunyai butiran atau maklumat boleh menghubungi Kok Gian di talian 011-2127 8755.
Warga emas itu kali terakhir dilihat memakai topi merah, kemeja hijau, seluar panjang hitam dan kasut hitam. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram