POLIS sedang mengesan seorang lelaki berusia 44 tahun disyaki penagih dan pengedar dadah yang melarikan diri daripada ditahan dalam kejadian di Kuala Jerlun, di Jitra pada petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya percaya lelaki itu masih berada dalam daerah Kubang Pasu dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.
RAKAMAN video memaparkan sebuah kenderaan polis mengejar kenderaan suspek itu di satu kawasan kampung dan sawah padi. — Facebook
Beliau berkata, dalam kejadian pada pukul 4 petang Rabu, anggota unit peronda sedang melakukan rondaan dan telah terserempak dengan sebuah kereta Honda yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu.
"Anggota polis terbabit meminta suspek memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan, namun suspek bertindak memecut laju bagi meloloskan diri sehingga memasuki jalan kampung.
"Anggota polis terus mengejar suspek sehingga sejauh empat kilometer sebelum kenderaan suspek berhenti di satu kawasan apabila ada kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.
"Suspek kemudian bertindak mengundurkan keretanya hingga melanggar kenderaan polis,” katanya dalam sidang media pada Khamis.
Rodzi berkata, dalam kejadian itu, polis telah melepaskan dua das tembakan pada bahagian tayar kenderaan suspek, namun lelaki itu berjaya memandu kenderaannya meninggalkan kawasan itu.
Katanya, polis kemudian berjaya mengesan kenderaan dipandu suspek yang ditinggalkan di sebuah rumah kosong kira-kira tiga jam kemudian dan menemukan tiga peket dadah jenis syabu dan heroin, sebilah pisau, serta peralatan menghisap dadah di dalam kenderaan tersebut.
"Suspek yang juga penagih dan pengedar dadah sudah dikenal pasti melalui cap jari, dan kita akan buat tangkapan dalam masa terdekat, kemungkinan besar dia di bawah pengaruh dadah sehingga bertindak agresif,” katanya.
Pada Rabu, video yang memaparkan sebuah kenderaan polis mengejar kenderaan suspek itu di satu kawasan kampung dan sawah padi tular di media sosial. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram