Penjawat awam di Kuantan rugi RM20,600 diperdaya pelaburan menerusi Telegram


  • 112
  • Rabu, 16 Mac 2022

MANGSA dikatakan tertarik dengan promosi pelaburan ditawarkan di aplikasi Telegram. — Gambar hiasan

SEORANG penjawat awam di Kuantan, Pahang mendakwa kerugian RM20,600 selepas terpedaya dengan pelaburan yang ditawarkan menerusi aplikasi Telegram pada Isnin lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supritendan Mohd Wazir Mohd Yusof, lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan berminat untuk menyertai pelaburan tersebut setelah melihat promosi yang ditawarkan sebelum membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM3,000.

Beliau berkata, menerusi pelaburan itu, mangsa dijanjikan dengan pulangan sebanyak RM55,000 dalam tempoh enam jam dan diminta untuk membuat bayaran pendaftaran berjumlah RM17,600 untuk mengeluarkan hasil keuntungan tersebut.

"Apabila mangsa sudah membuat transaksi itu, dia sekali lagi diminta membuat bayaran sebanyak RM15,000 dengan alasan bayaran caj perkhidmatan bank. Mangsa bagaimanapun berasa curiga kerana sebelum ini tidak diberitahu berkenaan caj bank itu,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan pada Rabu.

Tambahnya, mangsa yang berasa ditipu, tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Selasa dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram