Kuari mengorek pasir di Sungai Kulim dijalankan secara sah — Sanusi


  • Primer
  • Rabu, 16 Mac 2022

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. — Bernama

AKTIVITI mengorek pasir di sebuah kuari di Sungai Kulim dekat Kulim, Kedah dijalankan secara sah dan telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pengusaha kuari berkenaan telah diberikan kelulusan untuk proses mengeluarkan pasir dan meluruskan sungai sepanjang 300 meter di kawasan itu pada 20 Januari lalu.

"Saya telah terima laporan mengenai kes kecurian pasir di kawasan berkenaan dan saya ingin tegaskan bahawa kuari itu beroperasi secara sah. Surat kelulusan ini telah dikeluarkan kepada pengusaha pada 20 Januari tahun ini.

"Pemerhatian Pejabat Tanah dan Galian negeri mendapati keadaan sungai menjadi cetek dan beting endapan pasir di tengah sungai. Akibat endapan ini, aliran sungai menjadi berliku dan menerjah di tebing sungai yang curam dan tinggi, menyebabkan tebing sungai runtuh,” katanya pada sidang media di Alor Setar, Kedah pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai kegiatan sebuah kuari yang melakukan aktiviti mengorek pasir yang didakwa menyebabkan hakisan dan runtuhan tebing sungai yang serius di Sungai Kulim, Kulim sejak lebih tiga tahun lalu.

Muhammad Sanusi berkata, runtuhan tebing sungai yang berlaku itu adalah di luar kawasan yang diluluskan untuk proses mengeluarkan pasir ketika ini dan ia adalah tanah simpanan sungai dan bukan tanah individu.

"Hasil pemerhatian, kesan runtuhan itu adalah runtuhan lama yang berlaku sebelum kelulusan diberikan kepada pengusaha sekarang,” katanya.

Menurut beliau lagi, pengusaha kuari juga bersetuju untuk membaiki tebing sungai dan mengubah aliran air sekiranya pihak kerajaan memberikan kebenaran membuang beting pasir tersebut dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran telah bersetuju untuk membuat penjajaran semula air sungai berkenaan.

Katanya, dakwaan mengenai kegiatan kuari haram dan kecurian pasir di kawasan itu seperti yang ditularkan di media sosial sebelum ini adalah tidak benar. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram