Kes Covid-19 pada Isnin catat penurunan dengan 22,030 kes


  • Primer
  • Selasa, 15 Mac 2022

KADAR kebolehjangkitan mencatatkan penurunan sedikit kepada 0.96 berbanding 0.97 pada Ahad. — The Star

KES harian baharu Covid-19 terus menurun apabila mencatatkan 22,030 pada Isnin berbanding 22,535 pada Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah keseluruhan kes itu, 8,616 kes atau 39.11 peratus adalah kategori satu, 13,188 kes atau 59.86 peratus dalam kategori dua manakala kategori tiga, empat dan lima berjumlah 226 kes atau 1.03 peratus.

Dalam kenyataan pada Selasa mengenai perkembangan harian pandemik Covid-19 di negara, Dr Noor Hisham berkata, kes sembuh mencatatkan jumlah 33,872 mengatasi kes baharu menjadikan kes kumulatif sembuh ialah 3,502,760 kes.

Beliau berkata, sebanyak 1,521 kes dimasukkan ke hospital dengan 634 atau 41.7 peratus daripadanya adalah individu dalam kalangan kategori tiga, empat dan lima manakala 887 kes (58.3 peratus) merupakan pesakit kategori satu dan dua.

Dr Noor Hisham berkata, mengenai jumlah penggunaan katil Covid-19 bagi kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) di hospital Kementerian Kesihatan, enam negeri mencatatkan penggunaan melebihi 50 peratus semalam iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (77 peratus), Kelantan (75 peratus), Johor (66 peratus), Selangor (62 peratus), Melaka (59 peratus), dan Pulau Pinang (51 peratus).

Katanya, pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) menurun sedikit kepada 215 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 25 peratus berbanding 222 pesakit pada Ahad.

Berhubung kadar kebolehjangkitan (Rt) yang dicatatkan di seluruh negara semalam, Dr Noor Hisham berkata, ia turut mencatatkan penurunan sedikit kepada 0.96 berbanding 0.97 pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram