Cicit tokoh negarawan antara calon diramal bakal MB Johor


  • Politik
  • Selasa, 15 Mac 2022

PEMIMPIN tertinggi BN meraikan kemenangan parti tu dalam PRN Johor apabila menang 40 daripada 56 kerusi DUN. — Sinar Harian

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor yang melabuhkan tirainya pada Sabtu lalu, menjawab segala teka-teki mengenai parti yang bakal menerajui kerajaan baharu negeri itu.

Seperti diramalkan, Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar dengan memperolehi majoriti mudah iaitu 40 kerusi daripada 56 Dewan Undangan Negeri (Dun).

Kemenangan BN itu menyebabkan rakyat tertunggu-tunggu mengenai pemimpin mana yang bakal dilantik menjadi Menteri Besar Johor.

Presiden Umno dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berhubung pelantikan Menteri Besar Johor pada petang Isnin.

Semasa kempen, Ahmad Zahid menamakan Datuk Seri Ir Hasni Mohammad sebagai calon menteri besar, sekiranya BN memenangi PRN Johor.

Namun, selepas kemenangan parti itu, Hasni mencadangkan pucuk pimpinan parti agar memilih orang muda untuk memimpin Johor, setelah melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri.

Kenyataan terbaharu Hasni yang memenangi kerusi Dun Benut itu, seolah-olah mengesahkan khabar angin yang menyatakan nama lain bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan lima calon yang diramal menjadi Menteri Besar Johor:

1) Mohd Hairi Mad Shah

PRN Johor kali ini membawa kelainan apabila kerajaan mula membenarkan pelaksanaan Undi 18, sekali gus menarik golongan muda seawal 18 tahun untuk mengundi.

Meskipun Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mempertaruhkan ramai calon muda, ia langsung tidak menggugat kedudukan BN.

1407961

MOHD Hairi aktif turun padang melakukan aktiviti kemasyarakatan. — Sinar Harian

Ini terbukti apabila Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah mampu memikat anak Johor di Dun Larkin dengan 16,053 undi, meninggalkan jauh calon parti lain termasuk calon Muda, Rasid Abu Bakar (4,948 undi).

Mohd Hairi yang memegang jawatan lain termasuk Ketua Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru serta ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru, sudah semestinya diyakini mampu mengemudi Johor.

Hal ini kerana beliau difahamkan antara pemimpin yang aktif untuk turun padang melakukan aktiviti kemasyarakatan sebelum ini, sekali gus dipercayai mampu untuk memahami dan merasai sendiri pengalaman rakyat miskin dan susah.

2) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi

Mohd Puad yang sudah lama menjadi Ahli Majlis Tertinggi Umno semestinya mendapat kepercayaan rakyat Johor, apatah lagi beliau memenangi Dun Rengit pada PRN Johor.

Ketua Umno Bahagian Batu Pahat itu menang dengan majoriti sebanyak 1,930 undi. Beliau yang memperoleh 7,913 undi menewaskan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir memperoleh 5,983 undi.

download (1)

MOHD Puad lantang di media sosial. — The Star

Kewujudannya dalam Umno pada tempoh lama sudah pasti bakal membuka hati Ahmad Zahid untuk memilihnya sebagai Menteri Besar Johor baharu, tambahan pula beliau pernah memimpin jawatan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan pada 2009 hingga 2013.

Tahap pendidikannya sehingga doktor falsafah selain kelantanganya di media sosial, turut menjadi antara faktor bahawa pentingnya pendidikan dalam ciri-ciri seseorang pemimpin.

3) Datuk Onn Hafiz Ghazi

Bekas Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mempertahankan kerusi Dun Machap pada PRN Johor itu antara nama besar yang bakal dilantik menjadi Menteri Besar Johor.

Menurut sumber BN kepada media tempatan, ura-ura Onn Hafiz mahu diangkat menjadi Menteri Besar Johor sudah mula kedengaran sejak menjelang PRN Johor lagi.

"Namun ia reda sebentar di sebalik kebimbangan sesetengah pemimpin BN ketika kempen, sama ada parti mampu memenangi kerusi mencukupi bagi menubuhkan kerajaan negeri, berikutan kempen Perikatan Nasional (PN) yang sangat agresif.

(mugshot) Johor tourism, youth and sports committee chairman Datuk Onn Hafiz Ghazi.

KHABAR angin Onn Hafiz mahu diangkat menjadi Menteri Besar Johor sudah mula kedengaran sejak menjelang PRN Johor lagi. — The Star

"Bagaimanapun, apabila BN akhirnya berjaya dengan kejayaan cemerlang meraih 40 kerusi, khabar angin itu (Onn Hafiz jadi MB) bertiup kencang semula dan semakin kuat hari ini," katanya.

Onn Hafiz, 44, adalah cicit kepada Pengasas dan Presiden Umno, Datuk Onn Jaafar dan jika dilantik sebagai Menteri Besar ke-19, beliau mengulangi sejarah moyangnya itu yang memegang jawatan sama selepas dilantik pada 1 Jun 1947.

Beliau adalah muka baharu yang dilantik ke barisan Exco Makmur Johor, selepas Hasni dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

Onn Hafiz memegang portfolio Pelancongan, Belia dan Sukan selain aktif dalam advokasi orang muda termasuk menerusi pertubuhan bukan kerajaan Southern Volunteers, yang ditubuhkan hasil visi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Beliau juga anak saudara kepada Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Kanan Pertahanan.

4) Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad

Meskipun kenyataannya yang mencadangkan pucuk pimpinan muda untuk menerajui Johor, namun siapa sangka Presiden Umno mungkin akan tetap mengekalkan kedudukan Hasni sebagai Menteri Besar Johor.

Tambahan pula, beliau dikatakan cemerlang ketika pemerintahan di negeri selatan tanah air itu, selain tiada sebarang kontroversi besar melibatkan dirinya setakat ini.

Johor Mentri Besar Datuk Seri Hasni Mohammad talking about the state elections during a casual chit-chat session at his official residence in Johor Baru. — THOMAS YONG/The Star

PRESTASI Hasni didakwa amat memberangsangkan ketika menjadi Menteri Besar Johor. — The Star

Pada 4 Mac, Ahmad Zahid semasa berkempen di Kota Tinggi, Johor berkata, BN telah memilih Hasni sebagai Menteri Besar Johor dan akan meminta perkenan Sultan Johor untuk melantik Hasni sejurus BN memenangi pilihan raya.

Presiden Umno itu berkata, pemilihan Hasni berdasarkan prestasinya yang amat memberangsangkan dan memacu kemajuan kepada Johor dalam masa yang singkat.

Hasni dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

Hasni pada Sabtu lalu menang dengan majoriti selesa lebih 5,000 undi mengatasi tiga pencabarnya di Dun Benut.

Beliau mengatasi dengan majoriti 5,759 undi mendahului calon Perikatan Nasional (PN), calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

5) Abd Mutalip Abd Rahim

Meskipun kurang dikenali dalam kalangan rakyat, namun pemilik nama Abd Mutalip Abd Rahim patut menjadi kebanggaan buat ahli Barisan Nasional (BN) apabila menang dengan majoriti selesa 2,815 bagi Dun Layang-Layang.

Lebih mengejutkan, beliau mengalahkan nama besar PKR, Dr Maszlee Malik yang diramal memegang Dun tersebut.

553 (2)

ABD Mutalip menewaskan Maszlee pada PRN Johor baru-baru ini.

Dalam PRN itu, Abd Mutalip memenangi 7,551 undi, Maszlee (4,736 undi); calon PN, Alagathiran Krishnan (1,278 undi) dan calon Pejuang, Ahmad Shafiq Othaman (164 undi).

Justeru, tidak mustahil beliau antara calon yang dipilih oleh BN untuk menerajui Johor kali ini.

Beliau sebelum ini pernah menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram