Hasni bukan MB, Umno Johor tidak sehebat mana — Ketua Bahagian


  • Politik
  • Selasa, 15 Mac 2022

SHAHRIR memaklumkan beliau tidak akan hadir ke PAU yang akan diadakan bermula 16 Mac 2022. — Facebook

UMNO Johor tidak mampu melakukan apa-apa, itu kata Ketua Bahagian Umno Johor Bahru, Johor, Tan Sri Shahrir Samad berhubung polemik pelantikan Menteri Besar negeri itu.

Shahrir juga meluahkan rasa kecewanya apabila Pengerusi Umno Johor, Datuk Hasni Mohammad, tidak kembali menjawat jawatan itu.

"Sepanjang kempen, saya ketawakan PN (Perikatan Nasional) dan PH (Pakatan Harapan) serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai MB (Menteri Besar). Umno sudah pasti dengan Datuk Hasni sebagai MB.

"Tapi itu tidak cukup kuat. Dan Umno Johor tidak mampu lakukan apa-apa.

"Boleh dapat mandat rakyat, tapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan. Taklah sehebat mana Umno Johor," katanya " katanya menerusi satu ciapan di Facebook.

Tambahnya lagi, beliau tidak akan hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang akan diadakan bermula 16 Mac 2022.

Jelas bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu, beliau berasa malu hendak ke perhimpunan tersebut.

"Sepatutnya menjadi jurucakap untuk Umno Johor.

"Maaf kepada rakan-rakan. Saya sungguh malu dengan apa yang sudah berlaku selepas sebuah PRN yang kita menang dengan begitu cemerlang sekali di bawah kepimpinan Datuk Hasni," ujarnya.

Petang Isnin, Hasni dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa orang muda akan diberi laluan untuk memimpin Kerajaan Negeri Johor.

Kata Ahli Dewan Undangan (Adun) Benut itu lagi, cadangan itu berlandaskan faktor sokongan dan kedudukan anak muda yang penting dalam pembangunan Johor.

Terdahulu, terdapat tiga nama dikatakan yang telah disenarai pendek sebagai calon menteri besar iaitu Hasni, Datuk Onn Hafiz Ghazi (Adun Machap) dan Datuk Mohd Puad Zarkashi (Adun Rengit). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram