Adun Machap dilantik Menteri Besar Johor


  • Primer
  • Selasa, 15 Mac 2022

SULTAN Ibrahim (kanan) menyerahkan tauliah pelantikan sebagai Menteri Besar Johor kepada Onn Hafiz di Istana Bukit Serene pada Selasa. — Facebook

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 pada Selasa.

Berita itu dimaklumkan menerusi Facebook Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menurut hantaran itu, Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim di Balai Mengadap Istana Bukit Serene di Johor Bahru.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Gambar-gambar sempena Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor itu turut dimuat naik di laman sosial Facebook Sultan Ibrahim yang turut memaparkan 16 keping foto upacara berkenaan.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor ke-15, Onn Hafiz, 44, memenangi pertandingan empat penjuru menewaskan Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional (PN), R Sangaran (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan Datuk Dr Sharuddin Md Salleh (Parti Pejuang Tanah Air) dengan majoriti 6,543.

Beliau yang merupakan cicit kepada pengasas dan Presiden Umno, Allahyarham Datuk Onn Jaafar, pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan pada 6 Mac 2020 sehingga DUN dibubarkan pada 22 Jan lepas.

Memiiki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada University of Hertfordshire, United Kingdom, beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 2013 hingga 2018.

Onn Hafiz dilantik meskipun sebelum ini BN mencadangkan bekas Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad sebagai calon bagi mengisi jawatan itu jika BN memenangi PRN Johor.

Beliau yang sebelum ini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor amat aktif dalam pergerakan generasi muda.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung Sabtu lalu, BN meraih kemenangan besar dengan mencatatkan kejayaan dua pertiga apabila memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram