Kereta terbakar di stesen minyak Rantau Panjang disyaki seludup bahan api


  • 112
  • Isnin, 14 Mac 2022

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kereta jenis Perodua Kancil yang terbakar di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang. — Bomba

SEBUAH kereta jenis Perodua Kancil yang terbakar di stesen minyak di Rantau Panjang di Pasir Mas, Kelantan dalam kejadian 8.30 pagi Isnin disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan bahan api ke negara jiran.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, hasil siasatan dalam kenderaan tersebut turut ditemukan tong plastik terbakar disyaki digunakan untuk mengisi minyak seludup ke negara jiran.

Beliau berkata saksi kejadian yang juga pekerja stesen minyak tersebut mendakwa telah ternampak api menyala daripada bahagian bawah kereta itu ketika pemandunya sedang mengisi minyak.

"Api dikatakan telah merebak ke bahagian belakang kereta sebelum lelaki tersebut terus melarikan diri. Saksi juga memaklumkan tiada unsur khianat yang menyebabkan kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Nasaruddin berkata, polis kini sedang mengesan suspek berusia 36 tahun berasal dari Kampung Lubok Gong, di sini untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Kebakaran yang berpunca daripada kereta tersebut turut menyebabkan sebuah pam minyak musnah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram