Pergerakan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 masih dikaji — Jawatankuasa teknikal


  • Primer
  • Sabtu, 12 Mac 2022

LOKASI kejadian masih ditutup dan tiada sebarang kerja pembersihan serta mengalihkan tanah runtuh dijalankan buat masa ini. — Bernama

PASUKAN jawatankuasa teknikal kerajaan masih menjalankan kajian pergerakan tanah di lokasi tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di Kuala Lumpur, kata Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 23 Mohamad Samat.

Beliau berkata, pasukan jawatankuasa berkenaan melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR), Institut Kerja Raya Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains bersama MPAJ.

"Oleh kerana itu, lokasi kejadian masih ditutup dan tiada sebarang kerja pembersihan serta mengalihkan tanah runtuh dijalankan buat masa ini kerana tahap kestabilan tanah masih belum dapat dipastikan.

"Sebarang keputusan untuk tindakan susulan di lokasi kejadian bergantung kepada keputusan kajian dijalankan oleh jawatankuasa pasukan teknikal kerajaan itu nanti,” katanya di lokasi kejadian pada Sabtu.

Menurutnya, ketika ini pasukan berkenaan mungkin masih lagi mengkaji kekukuhan cerun sebelum keputusan lain dibuat termasuk kerja pembersihan.

"Kami difahamkan pihak JKR menanam peralatan sensor (pengesan) di atas bukit yang terjejas dan sensor ini amat sensitif mengesan secara berkala sebarang pergerakan tanah yang baharu.

"Sebarang tindakan lanjut mungkin dapat diputuskan dalam tempoh sehari dua lagi kerana kami tidak mahu timbul risiko sekiranya keputusan dibuat secara tergesa-gesa,” katanya.

Mohamad berkata, tindakan MPAJ adalah meminta penduduk yang terjejas untuk segera tampil membuat laporan dan mendaftarkan diri kepada MPAJ seterusnya mengaturkan bantuan sewajarnya.

"Buat masa ini, hanya 70 peratus penduduk daripada 48 kediaman yang terjejas dan terpaksa berpindah sudah mendaftar. Oleh itu, kami minta keluarga yang belum tampil untuk berbuat demikian dengan hadir ke pejabat Ahli Majlis MPAJ Zon 23,” katanya.

Pada Khamis lepas, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, Kuala Lumpur, meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

MPAJ, tanah runtuh, kaji, teknikal