Langkah intervensi KPM tangani ketagihan permainan telefon


  • Primer
  • Khamis, 10 Mac 2022

KPM telah mengeluarkan pekeliling mengandungi garis panduan untuk pelajar membawa peranti peribadi ke sekolah semasa tempoh PdPR. — Agensi

LANGKAH-LANGKAH intervensi yang sesuai untuk menangani tingkah laku berisiko dalam kalangan pelajar, termasuk ketagihan kepada permainan mudah alih dan peranti digital telah dilaksanakan, kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Bagi tujuan itu, kementerian berkata, guru bimbingan dan kaunseling di sekolah telah memulakan program kaunseling berfokus sebagai langkah intervensi kepada pelajar.

"Pendekatan seperti bimbingan, kaunseling dan intervensi berterusan akan membantu pelajar yang terlibat (dalam aktiviti ini), melibatkan diri ke arah perubahan tingkah laku yang positif," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Lukanisman Awang Sauni (GPS - Sibuti) mengajukan soalan sama ada kementerian sedang meneliti masalah ketagihan permainan mudah alih dan peranti digital dalam kalangan pelajar di bawah umur 18 tahun.

Kementerian menambah bahawa, pihak sekolah juga telah melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk menggalakkan gaya hidup sihat, yang terdiri daripada aktiviti sukan dan kokurikulum.

Antara aktiviti yang sedang dilaksanakan adalah seperti kursus kepimpinan, sukan, permainan dan aktiviti seni.

"Penglibatan pelajar dalam aktiviti ini akan mengelakkan mereka daripada terlibat dalam aktiviti tidak sihat seperti ketagihan kepada permainan mudah alih dan peranti digital," katanya.

Bagi mengawal penggunaan peranti digital dalam kalangan pelajar, kementerian berkata, ia tidak membenarkan telefon bimbit dibawa ke kawasan sekolah termasuk asrama.

Ia berkata, pihaknya juga telah mengeluarkan pekeliling mengandungi garis panduan untuk pelajar membawa peranti peribadi ke sekolah semasa tempoh pengajaran dan pembelajaran (PdPR).

Ia menambah, Program Ekspresi Anak Remaja Lestari (Pearl) juga sedang dilaksanakan bertujuan untuk menangani tingkah laku berisiko dalam kalangan pelajar melalui pengesanan awal, kaedah intervensi yang sesuai dan pemantauan bersepadu.

Kementerian juga berkata, peranan ibu bapa dan penjaga juga penting untuk menangani isu ini memandangkan pelajar berada di luar waktu persekolahan dalam tempoh lama selain berada dalam jagaan keluarga mereka.

"Dengan ini, kerjasama ibu bapa dan penjaga juga penting untuk mendidik, mengawal dan memantau anak-anak mereka termasuk penggunaan peranti digital yang bertanggungjawab,” katanya.

Katanya, kementerian itu juga menggalakkan kerjasama antara pihak berkuasa sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat dalam merancang dan melaksanakan program yang bersesuaian untuk menangani isu-isu tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram