Bakal haji diminta tidak serahkan sebarang deposit — TH


  • Primer
  • Selasa, 01 Mac 2022

SENARAI PJH yang menerima lesen PJH boleh disemak di laman web rasmi TH iaitu http://www.tabunghaji.gov.my. — Bernama

LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengingatkan bakal jemaah yang berhasrat menunaikan ibadah haji melalui syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) pada musim haji kali ini supaya tidak menyerahkan sebarang wang deposit selagi belum mendapat surat tawaran tunai haji.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ini kerana, setakat ini pihaknya masih menunggu makluman rasmi berkenaan urusan haji tahun ini daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

"TH menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah waspada kerana TH tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal-hal berkaitan tawaran haji dan pakej haji,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

"Pelantikan 22 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai PJH bagi musim haji 1443H/2022M menerusi penyerahan lesen PJH oleh TH baru-baru ini, adalah antara langkah awal persediaan haji yang dilakukan TH saban tahun.

"Kesemua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej-pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, antara penerima lesen PJH pada kali ini ialah anak syarikat TH iaitu Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS).

Jelasnya, semua wakil PJH yang hadir pada majlis penyerahan lesen PJH telah diberikan taklimat berkaitan terma dan syarat perkhidmatan pakej haji musim haji 1443H/2022M.

Tambah Syed Saleh, senarai PJH yang menerima lesen PJH boleh disemak di laman web rasmi TH iaitu http://www.tabunghaji.gov.my.

Syed Saleh turut mengingatkan, mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH, adalah menjadi satu kesalahan, dan mereka yang melakukannya boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) dengan menelefon 03-6207 1919. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram