Didakwa terlanjur ke majlis BN, Hamzah kena perli rindu parti lama


  • Tular
  • Ahad, 06 Mac 2022

GAMBAR yang menunjukkan Hamzah tiba di program BN dengan memakai baju PN. — Facebook

KECOH di media sosial pada Sabtu apabila Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin tersilap hadir ke salah sebuah program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dianjurkan Barisan Nasional (BN).

Melalui gambar yang tular di media sosial, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri dilihat hadir di program calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Seorang pengguna Facebook, Rafi Awg Kechik berkongsi perkara itu pada Sabtu berserta beberapa gambar yang menunjukkan Hamzah yang memakai baju Perikatan Nasional (PN) tiba di program itu ketika hujan lebat.

"Malu besar Setiausaha Agung Bersatu hari ini... silap masuk majlis, program BN yang sedang dihadiri oleh Datuk Seri Reezal Merican tiba-tiba Hamzah sampai dan terus masuk dalam Dewan... terpinga-pinga dia.

"Nampak sangat gagalnya dia dengan pegawai-pegawai dia... dahlah kempen guna rider yang bersiren bagai, jadual kempen, tempat pun salah.

"Yang paling menarik adalah Payung BN yang payungkan dia... patut biarkan basah saja!" katanya.

Screenshot 2022-03-06 at 7.24.56 AM

Hantaran Facebook yang dimuatnaik Rafi Awg Kechik pada Sabtu.

Di ruangan komen, sebilangan netizen 'mengusik' dengan mengatakan bahawa beliau yang dahulunya merupakan ahli BN masih rindukan parti berkenaan.

Shamlan Zabaai dalam komennya memerli bahawa Hamzah mungkin mahu rujuk semula parti lamanya itu.

"Dia nak rujuk balik ler tu. Sebab tu jangan ciplak warna BN, kan dah sesat," tulisnya.

"Nak masuk BN balik tu. Buat-buat silap masuk dewan," kata Shaharuddin Hashim.

Selain itu, ada juga yang komen kesilapan itu berlaku disebabkan kelemahan komunikasi pegawai Hamzah.

"Nak memerintah negara macam mana? Menteri silap tempat. Tak cekapnya SU (setiausaha) politik atau pegawai khas keliling dia," kata Abdullah Mat.

Untuk rekod, Hamzah merupakan ahli Umno sehingga 2018 sebelum bertindak keluar parti untuk menjadi Ahli Parlimen bebas. Pada 2019, beliau menyertai Bersatu sehingga hari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram