
PERBADANAN Perhutanan Sarawak (SFC) melarang pembunuhan buaya kerana pihaknya mempunyai kepakaran mengendalikan reptilia itu.
Seorang jurucakap SFC yang enggan namanya didedahkan mengulas tentang insiden sekumpulan pemburu menembak dua ekor buaya di Batang Igan pada Sabtu.
Dalam kejadian itu, dua ekor buaya masing-masing berukuran 13 kaki dan 17 kaki ditangkap oleh kumpulan pemburu itu yang mempunyai permit sah.
“Kami di SFC ingin menasihati orang ramai supaya terus melaporkan kepada kami sekiranya terdapat penemuan atau ancaman buaya di kawasan anda. SFC akan turun padang dan membantu anda menangani perkara itu,” katanya.
Jurucakap itu berkata, bertindak atas aduan orang ramai dan video yang tular di media sosial mengenai pemburuan dua ekor buaya di Batang Igan, sepasukan pegawai penguat kuasa SFC datang ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
"Mereka memburu reptilia itu berdasarkan laporan penduduk kampung yang tinggal berhampiran Batang Igan. Batang Igan merupakan salah satu habitat reptilia ini sejak dahulu lagi," katanya lagi.
Beliau berkata, buaya hanya akan bertindak agresif jika reptilia itu mengesan bahaya yang boleh mengancam habitatnya, atau telur dan anak-anaknya selain provokasi daripada manusia.
“SFC juga mempunyai program 3M Buaya, yang mana mereka akan berkongsi pengetahuan dan cara menangani masalah berkaitan reptilia ini,” katanya.
3M Buaya merupakan kempen serampang tiga mata untuk membantu rakyat mengenali, memahami dan memulihara buaya, bertujuan mendidik masyarakat yang tinggal di kawasan yang dipenuhi buaya untuk hidup dengan kehadiran reptilia itu di kawasan mereka dengan selamat.
SFC turut menyeru orang ramai supaya tidak bertindak tergesa-gesa sekiranya berdepan situasi serupa pada masa hadapan.
“Kerjasama daripada semua pihak amat dialu-alukan agar kita dapat menangani isu berkaitan spesies dan hidupan liar yang dilindungi secara berhemah dan beretika,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram