TEMPOH kenaikan harga minyak mentah yang lebih lama sehingga melebihi paras semasa akan menyebabkan kemusnahan permintaan dan mungkin mempercepat pelaburan dalam sumber tenaga alternatif, menurut Moody's Analytics.
Kemusnahan permintaan adalah penurunan yang kekal pada keluk permintaan, dengan pergerakan permintaan terhadap komoditi terus menyusut, disebabkan oleh tempoh harga tinggi yang berpanjangan atau bekalan terhad.
Ketua Ahli Ekonomi Asia Pasifik Moody's Analytics, Steve Cochrane berkata, kenaikan harga minyak mentah global pada masa ini adalah disebabkan premium risiko yang memuncak ekoran ketidaktentuan bekalan.
Premium risiko merupakan pulangan lebihan yang melampaui kadar bebas risiko. Ia diperlukan oleh pelabur sebagai pampasan setelah tahap risiko bagi pelaburannya meningkat.
"Bagaimanapun, bekalan sebenar tidak terganggu. Sekatan antarabangsa ke atas beberapa bank Rusia daripada sistem Swift (Society for Worldwide Interbank Financial Telecommunication) tidak diperluas kepada bank-bank terbesar di Rusia yang menguruskan kebanyakan transaksi untuk industri tenaga negara itu.
"Kami menjangkakan jika krisis ketenteraan terbabit tidak melangkaui sempadan Ukraine, sekatan tersebut tidak akan diperluaskan kepada bank-bank Rusia yang lain,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, seandainya wujud beberapa resolusi dalam beberapa minggu akan datang selain secara jelas minyak dan gas akan terus dibekalkan dari Rusia, maka premium risiko akan berkurangan.
Harga komoditi itu pula dijangka kembali kepada paras sebelum berlakunya pencerobohan berkenaan, katanya.
"Sekiranya senario ini berlaku, kenaikan harga minyak mentah tidak akan bertahan cukup lama untuk menyebabkan kemusnahan permintaan secara lebih buruk ke atas minyak mentah, dan sebarang inflasi yang lebih tinggi juga akan menjadi sederhana dan berjangka pendek,” katanya.
Cochrane berkata, harga minyak mentah Brent dijangka mencecah purata US$92 (RM384.38) setong pada suku kedua 2022 susulan jangkaan ketidaktentuan berterusan dalam sektor tenaga.
Bagi suku pertama tahun ini, harga purata minyak mentah diunjurkan pada US$94 (RM392.73) setong, selepas memulakan suku ini pada US$79 (RM330) setong.
Pada 5 Mac, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sedang mempertimbangkan sekatan import ke atas minyak mentah Rusia berikutan krisis Rusia-Ukraine yang berlarutan.
Ketika berita ini ditulis, minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras global melonjak 6.93 peratus kepada US$119.10 (RM497.60) setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate AS meningkat 7.44 peratus kepada US$115.70 (RM483.39) setong. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram