Syarikat F&B Malaysia, agensi kerajaan sertai Foodex Jepun 2022


  • Bizz
  • Jumaat, 04 Mac 2022

EKSPORT Malaysia bagi makanan diproses merekodkan pertumbuhan dua angka sebanyak 15.6 peratus tahun ke tahun. — The Star

SEBANYAK 15 syarikat makanan dan minuman (F&B) Malaysia dan tiga agensi kerajaan akan menyertai Foodex Jepun 2022 mulai 8 hingga 11 Mac 2022 melalui Pavilion Malaysia, diterajui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Dalam kenyataan pada Jumaat, Matrade berkata, penyertaan dalam acara pameran perdagangan F&B tahunan terbesar Asia itu -- yang akan diadakan di Chiba, Jepun -- membuktikan komitmennya dalam menonjolkan kekuatan dan kemampuan sektor F&B Malaysia.

"Acara pada tahun ini akan menampilkan pelbagai produk F&B Malaysia seperti makanan laut premium, makanan sejuk beku, produk pertanian, produk berasaskan koko, produk berasaskan minyak sawit, makanan sedia makan, pes yang sedia digunakan dan produk roti.

Pengarah Seksyen Halal, Makanan & Minuman dan Agro Matrade, Remee Yaakub berkata, penyertaan Malaysia di Foodex akan memperkukuhkan lagi kebolehlihatan pasaran produk F&B Malaysia di Jepun selaku destinasi eksport penting bagi Malaysia.

"Industri F&B di Jepun adalah bersandarkan import dengan jumlah nilai pasaran merangkumi jualan runcit mencapai AS$500 bilion (RM2.08 trilion) (AS$1=RM4.19), sekali gus menawarkan peluang yang luas kepada syarikat kita.

"Syarikat-syarikat Malaysia boleh memanfaatkan penyertaan mereka di Foodex untuk meneroka bidang pertumbuhan baharu eksport, termasuk kerjasama dan perkongsian pada Ekspo Dunia 2025 di Jepun dan Sukan Asia di Aichi dan Nagoya pada 2026,” katanya.

Menurut Matrade, pada 2021, eksport Malaysia bagi makanan diproses merekodkan pertumbuhan dua angka sebanyak 15.6 peratus tahun ke tahun untuk mencapai RM24.6 bilion berbanding RM21.28 bilion pada 2020.

Eksport ke Jepun meningkat 12.5 peratus tahun ke tahun kepada RM1.05 bilion daripada RM940 juta pada 2020.

Jepun adalah destinasi eksport kelapan terbesar Malaysia bagi makanan diproses pada tahun lepas, menyumbang 4.3 peratus daripada jumlah bahagian eksport pada 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram