Anak wanita warga emas rentung tergamam lihat api marak bakar rumah di Sibu


  • Massa
  • Rabu, 02 Mac 2022

DALAM kejadian pada Selasa itu, rumah yang didiami ketiga-tiga mangsa berkenaan musnah seratus peratus manakala sebuah lagi rumah. — Facebook Erica George

ANAK lelaki kepada wanita warga emas yang rentung dalam kebakaran di Kampung Bahagia Jaya, Sibu, Sarawak pada Selasa, tergamam apabila melihat api marak membakar kediaman mereka.

Taip Bus, 56, berkata, beliau tidak dapat berbuat apa-apa apabila tiba di lokasi kejadian dan hanya mampu melihat rumah yang dibina oleh abangnya, Abdullah Bus, 64, sejak lebih 20 tahun itu ranap dijilat api.

Beliau berkata, ketika kejadian beliau bersama isteri dan anak-anak berada di rumah kakaknya dan sekitar 8 malam, anak saudaranya datang dalam keadaan cemas memaklumkan kejadian itu.

"Tanpa berlengah saya terus bergegas ke tempat kejadian, saya tergamam dan terkejut melihat api sedang marak membakar rumah yang didalamnya terdapat ibu saya, abang saya dan anak perempuan abang saya. Tidak ada apa-apa yang boleh saya lakukan untuk bantu, api marak dengan cepat,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.

Dalam kejadian pada Selasa itu, rumah yang didiami ketiga-tiga mangsa berkenaan musnah seratus peratus manakala sebuah lagi rumah yang terletak di hadapan rumah tersebut musnah 90 peratus dan penghuninya seorang lelaki berusia 27 tahun selamat.

Mangsa Rasidah Suut, 81; Abdullah dan Suriaty Abdullah, 19 tahun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemuyang kira-kira 1.15 tengah hari tadi.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian pada Rabu mendapati pasukan forensik dan pasukan K9 dari Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak sedang mengadakan pemeriksaan dan siasatan lanjut.

Ketua Bomba Zon 4 Sibu, Janggan Mulling, yang turut berada di situ, berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan merangkumi semua aspek, termasuk melihat kepada kemungkinan perbuatan khianat untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sibu, rentung, api, siasatan