Kumpulan terakhir rakyat Malaysia dari Ukraine bakal berlepas pulang pada Isnin


  • Primer
  • Ahad, 27 Feb 2022

KESEMUA mereka akan berlepas pulang ke tanah air dari Warsaw, Poland pada Isnin. — Facebook

KUMPULAN terakhir rakyat Malaysia yang berjaya keluar dari Ukraine dijadualkan berlepas pulang ke tanah air dari Warsaw, Poland pada Isnin melalui penerbangan komersil.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Luar (Wisma Putra) menerusi satu kenyataan pada Ahad selepas misi pemindahan melibatkan tujuh warganegara dan dua warga asing tanggungan kepada dua warga Malaysia itu berjaya dilaksanakan Kedutaan Malaysia di Kyiv, Ukraine.

Kedutaan Malaysia turut membantu seorang warga Singapura.

Kumpulan berkenaan, diketuai Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Ukraine, Fadhilah Daud serta dibantu oleh Setiausaha Kedua Aminuddin Osman, bergerak dari Kyiv melalui jalan darat sejak petang Jumaat dan tiba di Poland pada 10.45 malam Sabtu waktu tempatan.

Menjawab tuduhan sesetengah pihak berhubung pelaksanaan misi itu, Wisma Putra menjelaskan, maklumat sensitif seperti pelan pemindahan tidak didedahkan kepada umum sebelum ini demi menjaga keselamatan semua pihak terlibat.

"Pendekatan ini penting bagi memastikan pelaksanaan misi berjalan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan.

"Kedutaan-kedutaan Malaysia yang lain, kedutaan di Kyiv, mempunyai pelan pemindahan yang sedia diaktifkan sekiranya perlu dan sentiasa dikemas kini berdasarkan situasi di lapangan dan keperluan semasa, termasuk opsyen terbaik bagi pelaksanaannya.

"Keputusan pelaksanaan misi pemindahan dibuat berdasarkan laporan mutakhir daripada kedutaan Malaysia yang berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Wisma Putra menegaskan dakwaan-dakwaan seperti pegawai kedutaan melarikan diri, ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) pemindahan dan sebagainya seperti yang dilaporkan sesetengah pihak media dan media sosial adalah tidak berasas sama sekali.

Berhubung penggunaan empat buah kereta dalam misi berkenaan, termasuk dua kenderaan kedutaan, katanya keputusan itu mengambil kira bilangan individu yang terlibat dan bagi memudahkan pergerakan serta menjaga keselamatan sepanjang perjalanan.

Tambah kenyataan berkenaan, kementerian sentiasa memantau perkembangan di Ukraine dan berhubung rapat dengan Kedutaan Malaysia di Kyiv sehingga ke peringkat komunikasi terus oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dengan kuasa usaha sementara kedutaan itu.

"Perkembangan-perkembangan penting turut diangkat untuk makluman dan perhatian Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dari semasa ke semasa.

"Kerajaan juga membincangkan pelan pemindahan dari Ukraine dan pelaksanaannya secara terperinci semasa mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 Februari lalu.

"Saifuddin memaklumkan Jemaah Menteri mengenai perkembangan di Ukraine, terutamanya status keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di negara itu," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram