INDIA pada Jumaat menyeru pertelingkahan antara Ukraine dan Rusia segera dihentikan ketika ia mengambil pendirian berkecuali daripada draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang kesal dengan tindakan ketenteraan Rusia.
Rusia menggunakan kuasa vetonya untuk menyekat resolusi yang disokong 11 daripada 15 anggota badan PBB itu.
Resolusi itu menuntut Rusia segera menghentikan operasi ketenteraannya ke atas Ukraine dan mengundurkan tenteranya.
Selain India, China dan Emiriah Arab Bersatu turut mengambil pendirian berkecuali.
Sementara Albania, Brazil, Gabon, Ghana, Ireland, Kenya, Mexico, Norway, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis menyokong.
Wakil tetap India ke PBB, T.S. Tirumurti, semasa sesi perbahasan, menyeru diadakan dialog untuk menyelesaikan konflik.
"Kami menggesa agar semua usaha dilakukan untuk menghentikan keganasan dan permusuhan serta-merta.
"Sangat dikesalkan apabila jalan diplomasi telah diabaikan. Kita mesti kembali berpegang kepadanya," kata Tirumurti. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram