Empat kru, 14 pemancing hilang bot karam di Langkawi


  • 112
  • Sabtu, 26 Feb 2022

LOKASI bot yang membawa empat kru dan 14 pemancing disyaki karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah, Langkawi pada Sabtu. — APMM

SERAMAI empat kru dan 14 pemancing dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka disyaki karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah, Langkawi, Kedah pada Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, berdasarkan maklumat awal, insiden itu dipercayai berlaku pada kira-kira pukul 2 petang Sabtu.

Katanya, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bagi mengesan bot yang dilaporkan hampir karam.

"KM Tenggol, bot Perkasa 1225 dan bot penyelamat 5 telah diatur gerak bagi operasi Carilamat sebaik menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan.

"Maklumat berhubung kejadian itu turut disalurkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia serta komuniti nelayan setempat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, sektor operasi diperluas daripada lima batu nautika hingga 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek yang timbul di permukaan air seperti tong ikan, tin biskut dan gabus yang dipercayai milik bot terbabit.

Menurutnya, penemuan barangan itu adalah pada jarak 4.8 batu nautika barat daya dari posisi akhir bot berkenaan dilaporkan hilang.

"Sehingga kini, pencarian masih dilakukan bagi mengesan bot berkenaan. Aset Maritim juga telah ditempatkan di sektor berkeluasan 10 batu nautika bersama aset agensi yang lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram