JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) meluluskan bantuan bulanan penjagaan Orang Kelainan Upaya (OKU) Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar berjumlah RM500 mulai bulan depan kepada ibu Diwiyana Mohammed yang terlantar sakit dan lumpuh.
Kisah tentang ibu Diwiyana itu tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Unit Perhubungan Awam JKM dalam satu kenyataan berkata, Diwiyana selaku pengadu diberi kelulusan serta merta di bawah skim Tabung Bantuan Segera RM300 sekali gus untuk ibunya.
"Merujuk kepada rekod penerima bantuan JKM, pengadu pernah menerima bantuan di bawah Skim Bantuan Penjagaan Pesakit Terlantar RM300 sebulan mulai April 2017 daripada JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur namun bantuan ditamatkan kerana pengadu tidak ditemui semasa proses kaji semula kes oleh JKM.
"Proses kaji semula dilaksanakan kepada semua penerima bantuan dalam tempoh 12 bulan selepas menerima bantuan bagi tujuan menilai semula kelayakan penerima," ujar kenyataan berkenaan.
Majoriti pada Rabu melaporkan Diwiyana sudah membuat permohonan berkenaan sejak dua tahun lalu.
"Sebelum ini saya tinggal di Kuala Lumpur dan membuat permohonan di sana sebelum berpindah ke Teluk Intan, Perak.
"Saya jangkakan permohonan saya sudah diproses tetapi sudah dua tahun tidak ada sebarang maklum balas daripada mereka," katanya.
Kenyataan itu memaklumkan, hasil siasatan segera mendapati pengadu yang kini menetap di Teluk Intan, Perak hanya berpendapatan terhad serta perlu menanggung kos penjagaan ibunya berusia 75 tahun yang lumpuh dan terlantar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram