40 rumah terbakar di Tawau: Suami isteri rentung, tujuh melecur


  • 112
  • Ahad, 09 Jan 2022

KEADAAN 40 buah rumah yang terbakar di Tawau, Sabah. — Facebook

SEPASANG suami isteri rentung manakala tujuh lagi melecur dalam kebakaran membabitkan kira-kira 40 rumah di Kampung Sungai Buaya, Jalan Tawau Lama, Sabah pada tengah malam Sabtu.

Mayat Saiful Rosli, 32, dan isterinya Jumaidah M Jida, 36, isterinya Junaidah M Pide, 36, ditemukan anggota bomba awal pagi Ahad selepas kebakaran berjaya dipadamkan dan operasi ditamatkan pada 6.20 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12.25 tengah malam tadi dan 25 anggota serta dua jentera digerakkan ke lokasi.

"Mangsa yang melecur 86 peratus ialah Abdul Mutalib Suma, 45, manakala seorang lelaki, 26 tahun dan seorang remaja, 18 tahun melecur 17 peratus.

"Selain itu, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berumur antara enam hingga 12 tahun melecur antara 1 hingga 6 peratus dan mereka dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurut Julius, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, mangsa kebakaran, Mala Tipung, 46, ketika ditemui Bernama menangis teresak-esak apabila mendapati rumahnya yang ditinggalkan kosong selama seminggu itu musnah dalam kebakaran.

"Saya ke tempat kerja suami seminggu lalu di Sungai Burong Teck Guan, bila balik, baru saya tahu rumah kami terbakar, semua tinggal jadi debu, satu barang pun tidak dapat diselamatkan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Hasoni Basiah, 34, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dan dikejutkan dengan bunyi ketukan kuat pada pintu rumah oleh sahabatnya, bernama Awil.

"Saya buka pintu, kawan saya Awil sudah berteriak 'api' dan saya tengok api besar sudah di belakang rumah saya, melihat api marak saya kejutkan isteri dan adik ipar, untuk menyelamatkan diri, " katanya menambah dia hanya sempat mengambil dokumen penting sebelum lari keluar dari rumah.

Nur Anita Saddu, 30, pula berkata, dia dan suami serta dua anaknya sempat menyelamatkan diri selepas mendengar salakan kuat anjing seperti memberi amaran sesuatu berlaku sebelum kedengaran suara jiran menjerit memberitahu berlaku kebakaran.

"Ketika kami keluar rumah, api sudah merebak ke rumah jiran, saya cuma sempat bawa keluar baju anak manakala suami sempat pindahkan kereta ke tempat selamat," katanya.

Selain itu, Abbas Tenri, 49, berkata, dua surat lahir anaknya tidak sempat diambil dan musnah bersama barangan lain dalam kebakaran itu.

"Saya dan tujuh anak selamat cuma ada dua surat lahir anak saya tidak sempat ambil, saya juga bingung esok anak-anak akan mula sekolah tetapi barang-barang sekolah mereka semua musnah," katanya.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kewangan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menzahirkan rasa simpati terhadap semua mangsa kebakaran.

Katanya, segala keperluan mangsa sedang diusahakan pihak berkuasa termasuk Jawatankuasa Bencana Daerah Tawau dan Jabatan Kebajikan, selain berharap mangsa dapat bersabar ketika ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram