SEORANG pembantu am institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dekat Bukit Tunggal di Kuala Nerus, Kuala Terengganu terjumpa seekor anak buaya ketika sedang mencuci longkang di institut itu pada Ahad lepas.
Ahmad Ismail Salleh, 33, berkata, beliau ternampak satu objek yang pada mulanya disangkakan barang permainan kanak-kanak, ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan.
"Tapi apabila diusik menggunakan ranting, ia bergerak dan pada mulanya saya ingatkan biawak, tapi apabila tengok lebih dekat, baru sedar haiwan itu adalah anak buaya.
"Memang terkejut sangat sebab ini kali pertama saya jumpa anak buaya,” katanya pada Ahad.
Menurut Ahmad Ismail, dia segera memaklumkan penemuan reptilia yang dianggarkan antara 30 hingga 38 sentimeter panjang itu kepada penolong pegawai Solahuddin Abdullah, 35.
Mereka kemudian melepaskan anak buaya itu di sungai berhampiran yang dipercayai habitat haiwan itu, kerana bimbang ibu buaya itu sedang mencari anaknya.
Katanya, beliau tidak membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), kerana mahu segera mengembalikan reptilia itu ke habitat asalnya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, orang ramai digalakkan untuk segera membuat laporan kepada jabatan itu jika menemui haiwan liar, bagi memudahkan pihaknya mengambil tindakan sewajarnya.
Beliau berkata, anak buaya yang ditemui pekerja IPTS terbabit dipercayai spesies buaya tembaga.
Sebelumnya, rakyat Terengganu pernah digemparkan dengan kehadiran seekor buaya tembaga berukuran satu meter yang ditemukan penduduk di sebuah lombong tinggal di Kuala Nerus, pada 2016.
Buaya yang digelar 'Mamat' itu tidak bertindak agresif, justeru menyebabkan ramai yang datang ke kawasan lombong tersebut untuk melihat reptilia itu dengan lebih dekat, bagaimanapun, pada Jun 2021 Mamat telah dipindahkan ke Paya Indah Wetland (PIW) di Dengkil, Selangor. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram