Padi musnah akibat banjir di Marang, pesawah rugi puluhan ribu ringgit


  • 112
  • Selasa, 22 Feb 2022

SEBAHAGIAN pesawah yang mengusahakan tanaman padi di sekitar Kampung Barat dan Kampung Tuman Pengkalan Berangan di Marang, Terengganu. — Bernama

SERAMAI 25 pesawah yang menanam padi secara berkelompok di Kampung Barat dan Kampung Tuman Pengkalan Berangan di Marang, Terengganu menanggung kerugian keseluruhan bernilai RM50,400 apabila tanaman yang diusahakan musnah akibat banjir minggu lepas.

Mohd Fadzly Jaafar, 44, berkata, hujan lebat baru-baru ini menyebabkan 0.8 hektar padinya (daripada jumlah keluasan padi kelompok 12 hektar) yang telah masak dan hanya menunggu masa untuk dituai ditenggelami air.

"Padi mula ditanam pada Oktober lepas dan sudah mula masak, jangkaan hasil yang dapat dituai ialah 3,000 hingga 4,000 kilogram padi dianggarkan bernilai RM4,500 hingga RM6,000.

"Memang sedih dan agak terkilan, namun bencana ini di luar dugaan dan mujur saya mempunyai sumber pendapatan lain untuk menyara keluarga dengan melakukan pelbagai kerja kampung," katanya.

Mohd Fadzly berkata, banjir di kawasan tersebut adalah kali pertama dialaminya sejak dia mengusahakan padi sembilan tahun lepas.

Seorang lagi pesawah, Mohd Pauza Abdul Rahman, 55, berkata, walaupun hanya separuh daripada dua hektar padinya musnah akibat banjir, dia tetap berharap ada bantuan bersesuaian daripada pihak berkuasa untuk meringankan beban mereka.

"Kakitangan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu ada membuat tinjauan dan penilaian kerugian baru-baru ini iaitu RM1,680 untuk setiap ekar sawah. Besar harapan kami agar bantuan ini dapat disegerakan, boleh kami buat pusingan untuk tanaman seterusnya," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan Sulaiman Sulong berkata, terdapat 50 pesawah yang mengusahakan tanaman padi di sekitar kawasan itu dengan keluasan keseluruhan ialah 121 hektar, namun hanya 25 pesawah terjejas kerana lokasi sawah mereka agak rendah.

"Antara kawasan sawah padi yang terjejas akibat banjir ini ialah di Kampung Bukit Kulim, Bukit Gading, Kampung Tuman dan Bukit Jejulong.

"Saya meminta mereka melengkapkan permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, manakala di peringkat kerajaan negeri, kita akan salurkan bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian secepat mungkin," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pesawah, padi, banjir, bantuan, terengganu