JABATAN Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan melakukan siasatan secara menyeluruh dan terperinci berhubung kematian bayi lelaki berusia dua bulan pada Jumaat lepas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya amat prihatin dengan insiden itu dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
"Pihak pengurusan hospital telah melakukan siasatan awal dan mendapati pesakit telah dimasukkan ke HRPZ II pada 5 Februari lepas akibat cirit-birit yang melampau selama beberapa hari sehingga mengakibatkan pelbagai komplikasi.
"JKNK memandang serius insiden ini dan akan melakukan siasatan menyeluruh dan terperinci terhadap semua pihak yang terlibat,” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, media melaporkan pihak HRPZ II akan mengadakan pertemuan dengan keluarga mangsa yang mendakwa berlaku kecuaian ketika mendapatkan rawatan di hospital itu sehingga menyebabkan kematian bayi tersebut.
Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, pihaknya telah mengadakan siasatan melibatkan pakar perubatan, doktor dan jururawat yang bertanggungjawab merawat bayi itu berikutan tular video di Facebook milik ‘Ola Ola’ yang mendakwa anaknya meninggal dunia akibat kecuaian doktor di hospital berkenaan ketika memberikan rawatan.
Menerusi video yang meraih tontonan melebihi 60,000 itu juga, Ola Ola mendakwa anaknya dipaksa berpuasa selama lima hari selain diberikan susu tamat tempoh dan ubat tidur tanpa keizinan beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram