Nyawa di hujung tanduk, kren skylift melayang-layang dipukul angin kencang di Menara TS Law


  • Tular
  • Selasa, 22 Feb 2022

TANGKAP layar rakaman video menunjukkan jentera skylift di Menara TS Law melayang di udara dalam kejadian pada Selasa. — Facebook

SEBUAH jentera skylift kelihatan berayun kuat selepas dipukul angin kencang, dipercayai berlaku di Menara TS Law, Jalan Kamuning, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada petang Selasa.

Menerusi satu video yang dikongsikan di laman Facebook Zunar Cartoonist Fan Club, jentera skylift itu kelihatan berayun beberapa kali sebelum menghentam dinding bangunan tersebut.

Rakaman itu menunjukkan jentera berkenaan berayun sebanyak dua kali ketika dipukul angin kencang hingga mengakibatkan ia menghentam struktur bangunan lain yang terletak bersebelahannya.

RAKAMAN video menunjukkan sebuah jentera skylift kelihatan berayun kuat selepas dipukul angin kencang dipercayai dalam kejadian di Menara TS Law. — Facebook

Angin kencang kemudiannya dilihat 'menerbangkan' jentera skylift itu lebih jauh sebelum menghentam struktur bangunan itu sekali lagi, kali ini dengan lebih kuat.

Akibat hentaman itu, jentera skylift tersebut dilihat tersangkut pada struktur atas bangunan bersebelahannya itu.

Tidak dapat dipastikan berapa orang mangsa terperangkap di atas jentera skylift itu ketika kejadian, namun pemerhatian kasar mendapati terdapat dua individu berpaut pada kabel jentera terbabit.

Kelihatan juga dua individu tersebut dapat memanjat struktur bangunan rendah itu untuk menyelamatkan diri.

Seorang pengguna Facebook, Mohd Hafez mendakwa, kejadian itu bukan berlaku di Menara TRX Exchange sebaliknya di Menara TS Law yang jaraknya kira-kira 850 meter daripada pencakar langit itu.

"Ni bukan TRX la, ni TS Law, semoga semua selamat," katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Ewan Haq berkata, sepatutnya majikan lebih peka kepada keadaan cuaca ketika kerja-kerja sedemikian sedang dilakukan.

"Tak peka dengan cuaca dan keadaan sekeliling, itulah makan dia.....ribut tu bukan tiba-tiba datang time panas. Time awan mendung tu dah standby stop kerja la.. apapun bertabahlah semoga dipermudahkan," tulisnya.

Semakan Majoriti mendapati Menara TS Law memiliki ketinggian 209 meter.

Video tular itu mendapat sejumlah 145,000 tontonan setakat jam 9.40 malam sejak tular pada petang Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram