79 peratus kematian ibu hamil tidak terima vaksin — KP Kesihatan


  • Primer
  • Isnin, 21 Feb 2022

LIPUTAN vaksin yang tinggi pada umur 18 tahun ke atas menyumbang kepada penurunan kematian ibu hamil akibat komplikasi Covid-19. — Agensi

SEBANYAK 79 peratus daripada 191 kes kematian ibu hamil disebabkan oleh komplikasi jangkitan Covid-19 pada tahun lalu terdiri daripada mereka yang tidak mendapatkan vaksinasi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan di Facebook berkata, 83 peratus daripada kesemua kes kematian tersebut melibatkan golongan yang mempunyai komorbiditi.

Bagi tahun ini sehingga 15 Februari, kata Noor Hisham, tiada kes kematian melibatkan ibu hamil disebabkan oleh jangkitan Covid-19 dilaporkan.

"Liputan vaksin yang tinggi (94.7 peratus) pada umur 18 tahun ke atas telah tercapai pada Oktober 2021 dan ini menyumbang kepada penurunan kematian ibu hamil akibat komplikasi Covid-19,” katanya pada Isnin.

Menurutnya sejumlah 18,277 kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan ibu hamil dilaporkan dari Mac 2020 sehingga Januari 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram