
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) merekodkan 28,825 kes baharu Covid-19 pada Sabtu berbanding 27,808 kes pada Jumaat, menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 3,194,848.
Angka itu sekali gus memadam rekod tertinggi kes Covid-19 yang dicatatkan negara pada 16 Februari lalu dengan 27,831 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah berkenaan melibatkan 28,734 kes tempatan dan 91 kes import.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 28,730 kes yang dilaporkan atau 99.67 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua, manakala sebanyak 95 kes atau 0.33 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima.
“Bagi pecahan daripada jumlah tersebut, sebanyak 20,318 kes atau 70.49 peratus adalah daripada pesakit Covid-19 kategori dua sementara 8,412 kes atau 29.18 peratus adalah pesakit kategori satu.
“Bagi kategori tiga terdapat 59 kes (0.20 peratus), kategori empat dengan 22 kes (0.08 peratus) serta bagi kategori lima adalah sebanyak 14 kes (0.05 peratus)," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada masa sama, beliau berkata, bilangan pesakit di unit rawatan rapi dan kritikal di Johor, Kuala Lumpur dan Kelantan mencatatkan lebih 50 peratus pengisian katil pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram