Gerakan rebut lebih dua kerusi DUN PRN Johor


  • Politik
  • Jumaat, 18 Feb 2022

KEPUTUSAN jumlah kerusi ditandingi diserahkan sepenuhnya kepada pimpinan PN. — The Star

GERAKAN akan bertanding lebih dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan, kata Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Beliau bagaimanapun berkata, bilangan sebenar kerusi yang bakal ditandingi parti itu akan diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 Februari 2022.

"Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Gerakan bertanding (di Johor) satu Parlimen dan dua DUN, kali ini memang kita akan bertanding lebih daripada dua DUN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Resepsi Tahun Baharu Cina PN di Pontian, Johor pada Khamis yang turut dihadiri Muhyiddin dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, Lau berkata, keputusan jumlah kerusi ditandingi diserahkan sepenuhnya kepada pimpinan PN dan fokus Gerakan ketika ini adalah untuk memastikan kemenangan parti gabungan itu pada PRN Johor.

Pada PRU14, Gerakan yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di kerusi DUN Pemanis dan Bukit Batu, kalah di kedua-dua kerusi.

Gerakan kemudiannya mengumumkan keluar daripada BN pada 23 Jun 2018.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada 26 Februari 2022, pengundian awal pada 8 Mac dan 12 Mac 2022 sebagai hari pengundian. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram