
SEBELAS sekolah di Melaka diarah tutup selepas 1,258 pelajar didapati positif Covid-19.
Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, data daripada pihak kesihatan yang dikemas kini pada Khamis menunjukkan angka pelajar positif Covid-19 telah melepasi paras 1,000.
“Sekolah-sekolah ini akan ditutup antara lima hingga tujuh hari dan pembasmian kuman di semua sekolah ini akan dilakukan oleh agensi berkaitan,” katanya pada Jumaat.
Antara sekolah yang terlibat ialah SK Kampung Tun Razak, SJKC Yu Ning, SK Paya Redan, SK Batu Berendam, SK Pulai, SK Chinchin, SMK Tun Tuah, SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, SK Duyung, SK Bukit Rambai dan SK Taman Bukit Rambai.
Beliau berkata, sesi pengajaran di sekolah berkenaan akan dijalankan secara dalam talian.
"Pengambilan suhu akan diteruskan di sekolah, manakala ujian saringan RTK akan dilakukan secara bersasar terhadap pelajar.
"Kerajaan negeri juga sedang mempergiat usaha vaksinasi 98,200 pelajar di negeri ini.
"Pada masa ini, hanya 18.5% daripada jumlah populasi pelajar di Melaka telah divaksin," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram