Fahmi Reza kena dakwa lagi


MOHD Fahmi Reza hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis bagi pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik. — Bernama

PEREKA grafik dan aktivis, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik menerusi media sosial.

Mohd Fahmi Reza, 45, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy.

Dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang jelik sifatnya berhubung isu pengharaman penjualan minuman keras di negara ini, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui laman Facebook miliknya menggunakan profil 'Fahmi Reza' pada 11.45 pagi, 1 Jun 2021.

Hantaran itu kemudian dibaca di sebuah unit Pangsapuri Melur, Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul di ibu kota, pada 9 pagi, 2 Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000, namun peguam Rajsurian Pillai, yang mewakili Mohd Fahmi Reza memohon jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

"OKS juga tidak ada potensi untuk melarikan diri dan mengganggu saksi. Sebelum ini (10 Februari) anak guam saya juga didakwa di Mahkamah Sesyen dan mahkamah membenarkan jaminan RM5,000, jadi kami pohon jaminan antara RM4,000 hingga RM5,000,” kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan OKS diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram