SUASANA di Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang dan laluan Kwasa Sentral kecoh apabila ribuan penumpang naik angin ekoran perkhidmatan dari Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Kuala Lumpur (RapidKL) itu sangat mengecewakan pada pagi Rabu.
VIDEO hantaran dari pengguna Twitter, amadsyawzbunny
Antara isu yang mengecewakan penumpang terhadap perkhidmatan MRT di media sosial pada pagi Rabu adalah menurunkan penumpang di stesen lain atas alasan stesen di hadapan sesak, membiarkan penumpang menunggu lama dan satu platform sahaja yang berfungsi.
Para penumpang rata-ratanya meluahkan rasa kecewa mereka dengan perkhidmatan RapidKL kerana membuang masa mereka untuk ke tempat kerja dan mengancam keselamatan ekoran terpaksa bersesak bersama penumpang lain.
"Ini kegilaan. Terpaksa tukar train di tengah-tengah. Selepas itu bersesak dalam MRT. Tiada Garis Panduan dan Operasi Standard (SOP). Kenapa setiap minggu kami kena lalui benda yang sama. Train bersesak sebab pihak anda kata ingin keluarkan train dari laluan. Tiada prosedur yang betulkah untuk penyelenggaraan atau pemeriksaan sebelum MRT beroperasi?" ciapan dari pengguna Twitter, amadsyawzbunny.
"Dan kami membayar RM 20 lagi untuk ini. Sudahlah laluan Kwasa Sentral ke Sungai Buloh masih kena ambil bas shuttle. Orang hanya mahu pergi bekerja tepat pada masanya," komen pengguna Twitter, nandy1804.
"Ini benar-benar tidak profesional dari segi perkhidmatan awam. Tiada prosedur yang betul dan anda hanya biarkan kami menunggu dan pengumuman anda sangat kabur. Perkhidmatan biasa akan disambung semula sebentar lagi? Hampir 30 minit kami menunggu di sini, " kata pengguna, madarauchiha94_.
Dalam pada itu, menerusi laman Twitternya, pihak RapidKL memohon maaf atas gangguan perkhidmatan MRT laluan Kajang Kuala Lumpur di atas kesulitan yang dialami pengguna akibat kelewatan jadual perjalanan berikutan masalah teknikal yang berlaku di Stesen MRT Phileo Damansara pada Rabu.
"Hal ini berpunca daripada salah sebuah tren yang bernombor 22 telah mengalami masalah teknikal ketika menghampiri stesen berkenaan," kata RapidKL.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram