KETUA Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis dan Naib Pengerusi, PKR Johor, S. Gopalakrishnan antara lima calon pertama parti berkenaan yang diumumkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan.
Gopalakrishnan yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram akan mempertahankan kerusinya manakala Napsiah yang membuat penampilan pertama kali akan bertanding di kerusi Kempas.
Dua lagi muka baharu ialah Chiong Sen Sern yang akan bertanding di DUN Bukit Batu dan Fakhruddin Moslim (Pasir Raja) manakala Dr Zamil Najwah Arbain yang pernah bertanding di kerusi Tanjung Surat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), akan bertanding di DUN Larkin.
Pengumuman itu dilakukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Johor Bahru, Johor pada Isnin yang turut dihadiri Pengerusi PKR Johor yang juga Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
Selepas ini, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson akan melancarkan Jentera Pakatan Harapan bersama Amanah, DAP dan MUDA yang dijangka mengumumkan baki calon untuk 15 kerusi lagi di Rengit dan Batu Pahat lewat Isnin.
Pada PRU14, PKR bertanding 12 kerusi DUN dan memenangi lima kerusi iaitu Pemanis, Semerah, Tiram, Bukit Naning dan Bukit Batu.
Bagaimanapun, komposisi kerusi DUN yang dipegang mereka berubah apabila penyandang kerusi DUN Pemanis, Dr Chong Fat Full mengumumkan keluar parti pada Mac 2020.
Tiga penyandang kerusi daripada Amanah iaitu Muhamad Said Jonit (Mahkota), Khairuddin A Rahim (Senggarang) dan Dr Faizul Amri Adnan (Serom), mengumumkan menyertai PKR pada Feb 2021, menjadikan kerusi PKR sebelum PRN Johor adalah tujuh.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRN Johor pada 12 Mac ini dengan penamaan calon pada 26 Feb manakala 8 Mac ditetapkan sebagai hari undi awal. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram