Spesis koala makin terancam


  • Benua
  • Jumaat, 11 Feb 2022

POPULASI koala liar dianggarkan jauh lebih rendah iaitu sekitar 50,000 hingga 80,000 di peringkat nasional. β€” Agensi

KOALA kini dianggap sebagai spesies terancam di New South Wales (NSW), Queensland dan Wilayah Ibu Kota Australia kerana jumlahnya yang berkurang akibat perubahan iklim, penerokaan hutan dan penyakit.

Ikon Australia itu sebelum ini telah dikategorikan sebagai spesis yang terdedah di bawah Akta Perlindungan Alam Sekitar dan Pemuliharaan Biodiversiti kerajaan persekutuan 1999, tetapi statusnya kini telah dinaik taraf.

Menteri Alam Sekitar Persekutuan, Sussan Ley berkata, penyenaraian terancam bermakna memelihara koala diberi keutamaan yang lebih besar.

Dia berkata, anggaran jumlah koala liar yang tinggal oleh Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Perindustrian Komanwel (CSIRO) ialah kira-kira 180,000 di sepanjang pantai timur Australia.

Ley memberitahu, kerajaan tidak menetapkan sasaran untuk pertumbuhan populasi koala, tetapi sedang berusaha untuk memastikan spesies haiwan itu dapat bertahan sebelum sebarang bencana alam akan datang.

Beliau berkata, kerajaan meminta CSIRO untuk membangunkan alat pemetaan komprehensif buat populasi koala, termasuk status penyakit haiwan tersebut.

Tetapi angka 180,000 itu dilabel "karut" oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Koala Australia, Deb Tabart.

Katanya, populasi koala liar dianggarkan jauh lebih rendah iaitu sekitar 50,000 hingga 80,000 di peringkat nasional.

"Pada 2019, selepas kebakaran belukar, Ley mengadakan pertemuan dengan kami dan saya menyerahkan data habitat koala yang telah mengambil masa 23 tahun untuk kami perolehi.

"Saya memberikan anggaran kami tentang bilangan koala, yang pada masa itu adalah antara 50,000 hingga 80,000 ekor di seluruh negara," katanya.

Tambahnya, organisasinya menganggarkan terdapat pengurangan 30 peratus dalam populasi koala sejak 2018 dan angka itu disokong oleh pakar lain.

Sementara itu, Ley berkata, dia merujuk kepada pakar dalam jawatankuasa saintifiknya untuk anggaran populasi koala dan nasihat tentang rancangan pengurusan masa depan, tetapi data di semua negeri masih tidak jelas.

"Memandangkan kita tidak tahu di mana lebih banyak penyakit boleh melanda dan kebakaran belukar mungkin berlaku, tidak semestinya kita tahu apa masa depan.

"Jadi kita perlu membina daya tahan sekarang untuk mendapatkan jumlah tertinggi yang kita mampu capai," ujarnya.

Kerajaan meminta Jawatankuasa Saintifik Spesies Terancam untuk mengkaji semula status koala berikutan kebakaran belukar Black Summer, yang memusnahkan sejumlah besar habitat haiwan di negara itu.

Ley memetik kesan perubahan iklim, penerokaan hutan dan penyakit sebagai ancaman utama yang dihadapi koala.

Menurut laporan Yayasan Koala Australia yang dikeluarkan pada September 2021, terdapat antara 32,065 dan 57,920 koala yang tinggal di habitat liar tahun lepas.

Ia mendakwa kemerosotan terbesar adalah di NSW, yang mana bilangan koala menurun 41 peratus sejak 2018.

Dalam akta itu, spesies terancam diklasifikasikan dalam enam kategori di Australia iaitu pupus, pupus di habitat liar, sangat terancam, terancam dan terdedah kepada ancaman.

Dalam pada itu, kumpulan alam sekitar berkata, menyelamatkan koala memerlukan tindakan segera daripada semua peringkat kerajaan.

"Undang-undang alam sekitar negara pada asasnya gagal memberikan perlindungan yang diperlukan oleh koala," kata Basha Stasak dari Yayasan Pemuliharaan Australia (ACF).

"Apa yang kita perlu lihat kerajaan lakukan ialah berhenti memusnahkan habitat koala," tambahnya lagi.

Kerajaan persekutuan telah meluluskan lebih 25,000 hektar habitat koala sejak spesies itu diisytiharkan "terdedah" 10 tahun lalu, menurut ACF.

Ley mempertahankan rekod kerajaan mengenai penerokaan hutan.

"Kami melihat perkembangan dan kami menilai mereka dan membuat pengimbangan yang diperlukan untuk habitat koala."

Stuart Blanch, dari Dana Hidupan Liar Dunia berkata, penyenaraian baharu itu "suram tetapi penting".

β€œIa membantu orang ramai yang ingin menyelamatkan koala melakukan perkara yang betul.

"Itulah menteri yang membuat keputusan mengenai pembangunan, pegawai perbendaharaan yang bekerja sama ada untuk meletakkan wang untuk membiayai ladang untuk melindungi koala atau membeli perjanjian bekalan kayu pembalakan asli di kawasan habitat koala,” katanya.

Ley berkata, kerajaan persekutuan memberi komitmen sebayak AUS$50 juta (RM149 juta) untuk pemuliharaan dan perlindungan koala.

Beliau berkata, kerajaan sedang menghubungkan koridor habitat koala di utara NSW dan selatan Queensland serta menanam pokok baharu. β€” Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram